Wacana Falsafah Kenegaraan: Ucapan Pembukaan Amir ISMA

Yang berbahagia Datuk Seri/Datin Seri, Datuk/Datin, yang berusaha barisan Professor, Professor Madya, para ahli akademik, barisan tetamu dari luar negara yang turut bersama kita hari ini, yang dihormati barisan pimpinan pertubuhan, tokoh-tokoh masyarakat serta hadirin-hadirat sekalian.

1. Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua yang hadir dalam Wacana Falsafah Kenegaraan kali ini. Saya merasa sangat terhormat dapat berada di tengah-tengah para pemikir, sarjana dan tokoh-tokoh masyarakat yang terus menerus memberikan sumbangan berharga bagi perkembangan pemikiran dan pembangunan ummah.

2. Saya disini bagi mewakili Amir Ikatan Muslimin Malaysia, Yang Berbahagia Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman yang tidak dapat hadir pada Wacana ini atas urusan kerja di luar negara. Beliau menyampaikan salamnya dan mendoakan agar wacana ini dapat membuka ufuk fikiran kita dan menimbulkan seribu-satu persoalan yang wajar kita selongkar bagi membentuk asas falsafah bernegara yang kuat buat Malaysia.
Hadirin-hadirat yang dihormati sekalian,

3. Pada kesempatan yang berbahagia ini, saya ingin mengajukan persoalan yang sangat relevan dengan tema program kita hari ini, yaitu “Falsafah Kenegaraan”. Persoalan yang ingin saya sebutkan adalah mengapa perlu dilakukan penelitian semula terhadap falsafah kenegaraan sedia ada. Dalam konteks Malaysia, kita melihat pelbagai rancangan dalam kerangka memajukan negara seperti Rancangan Malaysia, Belanjawan Negara tahunan, terkini dengan Malaysia Madani ditambah dengan rancangan pembangunan, adaptasi kebebasan dan hak asasi manusia giat dibahaskan dan dijalankan di semua peringkat, di Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan lain-lain tempat.

4. Ke manakah halatuju negara ini dengan rancangan-rancangan tersebut? Adakah semua rancangan ini membawa kepada membina negara dan memberikan erti bagi kehidupan kita, atau ia hanya alat bagi memenuhi “kehendak pihak tertentu”, yang tidak beriman dengan etos dan identiti kita sebagai warga nusantara?

5. Kerana persoalan inilah, kita semua berada di sini hari ini. Dalam menghadapi perubahan zaman yang cepat dan kompleks, kita perlu melakukan peninjauan kembali terhadap falsafah kenegaraan yang ada. Jika tajuk ini tidak diwacanakan sekarang, naratif kenegaraan kita akan dipandu oleh golongan lain yang berkepentingan. Pada ketika itu, kita akan menjadi hamba, yang menjayakan agenda dan projek pihak lain, di tanah air sendiri.

Hadirin-hadirat yang saya muliakan,
6. Falsafah kenegaraan secara keseluruhannya perlu dilihat berdasarkan perspektif epistemologi ilmu. Definisi, falsafah serta tasawur kenegaraan mesti diungkap semula supaya menzahirkan kefahaman epistemologi ilmu yang bersepadu. Ini adalah satu usaha untuk mengungkap semula praktis bernegara berdasarkan epistemologi yang menepati kehendak Islam.

7. Saya membayangkan usaha ini menjadi landasan kepada sebuah model baru bernegara, yang menzahirkan falsafah serta ajaran Islam itu sendiri serta kuat untuk memimpin realiti era baharu.

8. Model Kenegaraan Islam ini membawa kita kepada pencarian untuk mengetahui rupa bentuk sebuah cadangan alternatif yang lebih kuat dan lestari berbanding sistem yang ada sekarang. Model ini mesti mampu mengungkap suatu naratif baru tentang kenegaraan seterusnya peradaban, kerana apa yang sedia ada ini telah gagal menjelmakan ciri ubudiyah, kemakmuran bumi dan kebahagiaan dunia dan akhirat.
Hadirin-hadirat sekalian,

9. Saya mampu membayangkan sebuah natijah yang jelas daripada usaha membangun falsafah kenegaraan ini, hari ini, bersama anda semua.

i. Di atas falsafah ini, akan terbit satu kerangka pemikiran (manhaj/nizam fikri) yang tersendiri yang membawa kepada insan yang sejati.

ii. Insan ini bebas daripada segala kongkongan dan penindasan daripada Taghut, hidup sebagai hamba Allah dan sebagai khalifah di atas muka bumi.

iii. Kumpulan manusia ini akan melahirkan sistem-sistem yang mencorak dan mengatur kehidupan dalam segenap aspeknya, secara sempurna. Potensi manusia yang maksimum akan terserlah.

iv. Akan terhasil dari ini, produk-produk kehidupan manusia seperti penciptaan teknologi, pembangunan material, dan penghasilan seni kreativiti dalam lingkung falsafah bernegara baharu ini.

v. Negara yang kuat dapat dibina, seterusnya membuka laluan membangun sebuah peradaban, iaitu kemuncak pencapaian usaha manusia untuk membangunkan kesempurnaan, demi merealisasikan aspirasinya bagi mengecap kebahagiaan di dunia dan akhirat.

10. Akhir kata, saya mengharapkan agar wacana ini dapat berjalan dengan segar dan hangat, diisi dengan buah fikiran para sarjana, cendekiawan, pengamal di medan dan diceruk masyarakat dipandu oleh pembentangan dari tokoh-tokoh hebat dari pelbagai latar belakang, yang telah mendalami perkara-perkara diatas, saya percaya kita akan mampu menerbitkan sinar cahaya pertama ke arah membina negara unggul yang kita impikan.

 

Datuk Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz
Ketua Pusat Kecemerlangan ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat