Kita baru sahaja menyambut Hari Pekerja dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, mengumumkan beberapa sektor ekonomi dan sosial akan mula beroperasi hari ini dengan syarat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ini bermakna cuti sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan tamat awal bagi mereka yang akan kembali bekerja.
Namun pasti timbul persoalan adakah rakyat selamat untuk kembali bekerja? Adakah majikan sudah mempersiapkan tempat kerja dengan peralatan mencukupi seperti alat pengimbas suhu, topeng muka, cecair pembasmi kuman dan arahan pemantauan penjarakan sosial?
Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, setiap majikan dan organisasi hendaklah memastikan persekitaran tempat kerja yang sihat dan selamat untuk pekerja.
Sehubungan kelonggaran PKP dan kebanyakan sektor dibenarkan kembali bekerja, majikan hendaklah memastikan pekerja selamat daripada risiko dijangkiti COVID-19 di tempat kerja.
Berdasarkan kenyataan Menteri Kanan (Ekonomi) yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pada 16 April lalu, setiap pekerja diwajibkan menjalani saringan COVID-19 sebelum dibenarkan bekerja.
Selari dengan itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut membuat kenyataan bahawa syarikat yang mencarum boleh menghantar pekerja menjalani ujian COVID-19 secara percuma termasuk pekerja asing di 3,000 klinik panel berdaftar dengannya di seluruh negara.
Perlu ditekankan COVID-19 mudah tersebar melalui air liur atau mukosa pesakit apabila bercakap, batuk atau bersin dan permukaan yang dicemari pesakit berkenaan. Lebih membimbangkan kebanyakan pesakit COVID-19 tidak mempunyai gejala demam, batuk, sakit tekak dan sesak nafas, tetapi masih boleh menyebarkan virus berkenaan.
Dibimbangi akan ada yang melepasi saringan suhu dan gejala di pintu masuk tempat kerja.
Panduan terkini dikeluarkan MKN hanyalah menyatakan saringan gejala dan suhu di pintu masuk, selain wajib memakai topeng muka, cuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman dan penjarakan sosial.
Namun, ia sebenarnya tidak mencukupi untuk menghalang jangkitan berlaku jika ada pekerja yang positif dalam bangunan atau kawasan sama.
Dengan adanya kes sporadik dalam komuniti, definisi kes untuk COVID-19 pastinya akan berubah. Ia bukan lagi risiko hanya dalam kalangan mereka yang pulang dari luar negara atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19, tetapi sesiapa sahaja yang sudah terdedah kepada persekitaran dicemari virus. Ironinya kini masih ramai belum disaring.
Gesaan untuk mewajibkan ujian saringan ke atas semua pekerja tempatan dan asing sebelum mula bekerja mestilah ditekankan. Ia juga hak pekerja untuk dilindungi daripada dijangkiti COVID-19.
Kerajaan juga perlu memaklumkan kepada rakyat jumlah pekerja yang sudah disaring berserta keputusan ujian, jika mahu rakyat kembali bekerja.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pernah menyatakan Malaysia akan menerima 200,000 kit ujian saringan pantas (RTK) antigen COVID-19 dari Korea Selatan yang boleh mengesahkan status jangkitan seseorang dengan pantas dalam masa 45 minit, tanpa perlu menghantar sampel ke makmal.
Dengan kadar kepekaan dan kekhususan tinggi, kit ini boleh digunakan untuk saringan lebih meluas.
Kerajaan sepatutnya melonggarkan PKP secara berperingkat dengan memastikan majikan membuat ujian saringan dalam kalangan pekerja terlebih dahulu dan kaedah pencegahan COVID-19 disediakan dengan baik sebelum membenarkan mereka beroperasi sepenuhnya.
Kerajaan juga sepatutnya menguji dahulu kepatuhan rakyat pada kelonggaran diberi, sebelum memberi lebih banyak kelonggaran dalam aktiviti sosial lain.
Jika usaha pencegahan dan kawalan ini tidak dilakukan dengan baik oleh industri dan majikan, dibimbangi segala usaha Kementerian Kesihatan selama ini mengekang penyebaran COVID-19 menjadi sia-sia apabila kes kembali meningkat daripada kluster baharu.-
Dr Mohd Ihsanuddin Abas
Ketua Unit Kesihatan Awam I-Medik.