Oleh Thuaibah Abdul Ghani
KUANTAN, 3 Dis. – Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Kuantan telah berjaya menyantuni dan menyerahkan bantuan berupa keperluan bayi serta barangan dapur kepada seorang ibu muda yang sedang berada dalam kesusahan.
Puan Nabila ketika ditemui berkata, Wanita Isma adalah pihak pertama yang menghubungi beliau untuk menyampaikan bantuan kerana kesusahan hidup yang dialami akibat COVID-19 serta menjadi mangsa bencana banjir.
Ibu muda kepada tiga cahaya mata berusia antara 2 hingga 7 tahun ketika ditemui itu berkali-kali mengucapkan terima kasih selepas menerima bantuan tersebut.
“Bantuan yang diberikan ini sudah mencukupi bagi saya sekeluarga,” jawab beliau ketika ditanya bentuk keperluan lain yang boleh dibantu di kediamannya di Jalan Mat Kilau baru-baru ini.
Setiausaha Wanita ISMA Kuantan, Puan Thuaibah Abdul Ghani berkata bantuan yang diserahkan ini adalah kutipan dana sumbangan orang ramai untuk mangsa banjir yang dijalankan dengan kerjasama Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Pahang, Pemuda Isma, Relawan Muda ISMA, Kelab IFFAH serta Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Pahang.
“ISMA Kuantan ketika ini mensasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM 60,000 untuk membantu 300 buah keluarga yang terjejas di sekitar Kuantan akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.
“Teruskan menyumbang agar lebih ramai lagi yang memerlukan mendapat manfaat daripada sumbangan anda. Ayuh bantu kami untuk membantu mereka,” jelas beliau lagi.
Sementara itu, Aktivis Wanita Isma Kuantan, Dr Norhasliza Mohd Fauzi berkata, penubuhan Kelab Serikandi IFFAH yang merupakan sayap wanita muda Wanita Isma pada tahun ini mensasarkan penyertaan golongan wanita berumur 18 hingga 30 tahun dengan slogan “Prihatin, Bahagia, Bermakna”.
“Melalui IFFAH, kami komited dalam membantu golongan wanita yang memerlukan bantuan dari pelbagai sudut seperti barangan keperluan asas, ilmu keibu-bapaan, kekeluargaan, emosi, teman sokongan dan pelbagai aktiviti kebersamaan untuk memperkasakan setiap lapisan wanita.
“Kerana itu juga, sesi bertemu serta membantu seperti kes Puan Nabila ini adalah sebahagian tugas asasi kami dalam hidup bermasyarakat.
“Saya juga ingin mengajak para wanita di luar sana untuk bersama-sama kami dalam Wanita Isma untuk membantu golongan wanita bagi mendepani arus kehidupan yang mencabar pada ketika ini,” ujar beliau yang juga merupakan Doktor Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan ketika turut serta menyampaikan bantuan tersebut.