Aktivis ISMA Berjaya Didik Pelajar Harumkan Nama Negara

Oleh : Yusre Zulhamize Zainuddin

Pencapaian yang cukup membanggakan buat negara apabila wakil Malaysia telah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan WorldSkills Kazan 2019 dalam kategori pengoperasian dron kategori remaja bawah 16 tahun di Kazan, Rusia, Isnin lalu.

Aiman Afiq Suradi, 16, merupakan anak didik jurulatih Muhammad Ghazali Yai’d, 28, berjaya menampilkan prestasi cemerlang apabila berjaya mengharumkan nama negara bertanding dalam kejohanan tersebut di pentas antarabangsa.

Ghazali yang juga merupakan aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), mewakili Malaysia sebagai Pakar Negara dalam pertandingan pengoperasian dron tersebut.

Aiman merupakan pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, bersaing dengan tiga buah negara yang lain. Saingan di pentas akhir cukup hebat, namun Aiman terpakasa akur dengan kemenangan dimiliki peserta dari Rusia dan Belarus. Bagaimanapun, prestasi yang ditunjukkan Aiman dan semangat tidak mengenal kalah harus diberikan pujian termasuklah Ghazali yang berada di sisinya.

Melalui entri akaun Facebook milik Ghazali, beliau sempat merakamkan penghargaan kepada pihak yang terlibat memberi sokongan dan mendoakan kejayaan pasukannya.

“Saya titipkan kemenangan ini buat isteri saya yang berjuang di kampung halaman untuk menjaga anak kami yang kurang sihat. Isteri dan anak saya adalah penyokong setia saya yang paling dekat.

Buat semua ahli keluarga saya, terutama mama yang banyak memberi semangat kepada saya dan buat pihak pengurusan syarikat saya Akademi DS, terima kasih atas peluang dan ruang yang diberikan,” katanya.

Ujar Ghazali lagi, pihak kerajaan dan ISMA juga berperanan dalam membantunya dan rakan sepasukan berjaya sehingga ke tahap ini.

“Terima kasih juga kepada pihak kerajaan, khususnya Jabatan Pembangunan Kemahiran, WorldSkills Malaysia dan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Malaysia Digital Economy Corporation yang menjayakan semua ini dari segenap aspek pengurusan.

Kepada rakan-rakan NGO saya, Ikatan Muslimin Malaysia yang tidak putus memberi semangat, motivasi dan doa,” tambah Ghazali.

Harapan tinggi diletakkan agar beliau dapat mendidik lebih ramai lagi pelajar Malaysia sehingga mahir mengendalikan dron dan menyertai kejohanan WorldSkills 2021 akan datang di Shanghai, China.

Tentang WorldSkills Kazan 2019

WorldSkills Competition (WSC) merupakan pertandingan kemahiran dunia yang mempunyai jawatankuasa antarabangsa iaitu WorldSkills International. WorldSkills dianjurkan setiap dua tahun bermula dari tahun 1946 lagi [1].

Tahun ini Rusia menjadi tuan rumah dan lokasinya di Republik Tatarstan, Kazan dan disertai oleh 1300 orang peserta dari 63 buah negara [2]. Terdapat 56 kemahiran dipertandingkan dan dikumpul dalam enam sektor [3].

Istimewa pada kali ini, mereka memperkenalkan kumpulan kemahiran yang baru iaitu Kemahiran Masa Depan (Future Skills) yang mana salah satu kemahiran di dalamnya adalah Pengoperasian Dron [4].

[1] https://worldskills.org
[2] https://worldskills2019.com/en/event/competition/
[3] https://worldskills2019.com/en/event/skills/
[4] https://worldskills2019.com/…/pr…/future-skills-2019/skills/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *