SEPANG, 9 Mei – Selepas 50 hari ‘tersangkut’ di kampung akhirnya Husna Zamani 34 dan keluarga akhirnya dapat pulang semula ke rumahnya di Jenderam Hilir kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Husna yang sebelum ini membawa keluarga pulang ke kampung ibu bapanya di Pasir Puteh kelantan pada musim cuti sekolah tidak menyangka selepas itu Malaysia mengadakan (PKP).
Walau pun terpaksa tinggal di kampung untuk satu tempoh yang lama, dia merasakan satu kenangan indah kerana dapat meluangkan masa bersama ibu dan ayahnya sambil menikmati keindahan kampung halaman.
“Hikmah PKP kali ini terasa sangat bertuah, sebulan lebih (tidak pernah terfikir) tersangkut di kampung, dapat bersama kedua ibu bapa, lebih mengenali lagi keindahan kampung.

“Setiap petang anak-anak tidak sabar-sabar melihat keindahan baruh, enjoy merasa pengalaman mandi dalam tali air, menangkap ikan dan lokam,” kata Husna yang juga ahli Isma Sepang.
Tambah ibu kepada empat orang anak ini, tinggal di kampung mengajar dia dan anak-anak untuk meninggalkan segala keselesaan di rumah dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.
”Yang penting hikmah utama PKP adalah sentiasa bersyukur dengan apa yang ada, terima dengan hati yang penuh gembira.
“Dalam kehidupan kita ini setiap yang Allah aturkan ada hikmahnya yang kadang-kadang kita lupa untuk bersyukur,” ujarnya yang juga seorang pengusaha taska.
Husna sekeluarga bergerak semalam dengan keadaan trafik lancar dari Kelantan dan tiba di rumahnya jam 12.30 malam.
4 Mei lalu kerajaan telah memberi kebenaran kepada orang awam untuk melakukan pergerakan rentas negeri bagi tujuan pulang ke rumah.