Kemelut ekonomi dan jenayah: Akibat jauh daripada Islam

Sekadar gambar hiasan
Sekadar gambar hiasan

KEJADIAN yang berlaku di Plaza Low Yat baru-baru ini mencetuskan kebimbangan bahawasanya jurang sosio-ekonomi antara masyarakat yang berbeza latar bangsa membawa kepada rapuhnya kestabilan negara.

Di dalam sebuah kajian, terdapat beberapa jenayah di negara kita yang mana antaranya jenayah jalanan yang merangkumi tiga jenis jenayah indeks, iaitu ragut, samun tanpa senjata api dan samun berkawan tanpa senjata api. Terdapat sebanyak 35,000 jenayah jalanan yang dilaporkan setiap tahun, iaitu lebih kurang 17% daripada jumlah keseluruhan jenayah indeks yang dilaporkan. (Ahmad Azam Sulaiman & Mohd Fadzli Hashim, 2011). Dipendekkan cerita, hasil kajian mendapati kitaran ekonomi dan keadaan inflasi meningkatkan indeks kadar jenayah di Malaysia.

Umum mengetahui bahawa penguasaan ekonomi kaum Melayu adalah kurang berbanding kaum lain, contohnya kaum Cina di Malaysia. Begitu juga purata pendapatan bulanan kaum Melayu juga kurang berbanding kaum Cina. Walaupun populasi Melayu adalah lebih kurang 60% berbanding Cina 30%, komposisi penguasaan ekonomi mewakili bangsa-bangsa ini adalah tidak seimbang.

Malaysia yang kita hidup di dalamnya pada hari ini, adalah kesan daripada kolonialisasi penjajah yang telah merosakkan struktur masyarakatnya, mengubahsuai peranan dan sifat para pemimpinnya, merosakkan sistem ekonominya dan merompak hasil kekayaannya. Walau terdapat dasar-dasar ekonomi yang cuba mengurangkan jurang sosio-ekonomi antara masyarakat pelbagai bangsa di Malaysia, ia masih memerlukan masa yang lama untuk merawat. Sebagai contoh, Dasar Ekonomi Baharu (DEB) 1971 baru sahaja berusia 44 tahun, masakan sama kesannya dengan polisi penjajah British (foreign economic penetration) yang bermula seawal tahun 1890-an yang memberi banyak kelebihan ekonomi kepada imigran Cina dan India, berbanding masyarakat Melayu.

Perkaitan antara kesukaran ekonomi dan ketidakstabilan masyarakat di Malaysia adalah salah satu simptom bagi satu masalah yang lebih besar. Kepentingan Islam yang sepatutnya diterjemahkan ke dalam kehidupan masyarakat Melayu dan institusi-institusi berkaitan dengannya juga tidak segah sepertimana ia termaktub di dalam Perlembagaan.

Apabila Islam diambil tidak diambil sebagai deen (cara hidup) bahkan disempitkan ke masjid atau tikar sejadah, maka berlakulah konflik di dalam umat Islam apabila mereka menerawang mencari solusi pada idealogi-idealogi lain yang belum terbukti keberkesanannya sepertimana yang ditunjukkan oleh ketamadunan Islam yang berasaskan Al-Quran dan Sunnah.

Walaupun solusi ini kedengaran simplistik; mengembalikan masyarakat kepada Islam adalah satu-satunya cara menyelesaikan masalah.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas mengungkapkan usaha mengembalikan jati diri umat Islam sebagai menanamkan adab (ta’dib) pada diri mereka. Beliau menyatakan bahawa adab adalah apa yang mesti ada pada manusia jika ia ingin mengurus dirinya dengan cemerlang dan baik dalam kehidupan dunia dan akhirat. Menurut beliau, masalah umat Islam disebabkan oleh 2 faktor:

1. Faktor dalaman (internal) – kehilangan adab (the loss of adab) merupakan kehilangan disiplin aqli, rohani dan jasadi lantas menghilangkan upaya meletakkan suatu perkara di tempat yang wajar, sehingga menimbulkan kekeliruan dan kezaliman dalam semua lapangan hidup.

2. Faktor luaran (external) – akibat pertentangan kekal  antara kebudayaaan, tamadun dan neraca Islam dan selain Islam (Barat umpamanya), yang mana beliau menyebut sebagai “the perpetual clash of worldviews between Islam and the West”.

Hassan Al-Banna menyebut dalam Usul 1 daripada Usul 20 bahawa:

“Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah negara (daulah) dan tanah air ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun  rahmat dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.”

Memahami kesyumulan Islam akan membuatkan seorang Muslim ingin melonjakkan dirinya menguasai kesemua lapangan yang dituntut dalam Islam. Dalam urusan ekonomi umpamanya, Hassan Al-Banna menggariskan di dalam Wajibat Al Akh (Kewajiban Saudara Muslim), “hendaklah engkau memelihara kekayaan umat Islam secara umum dengan mendorong berkembangnya perusahaan-perusahaan dan projek-projek ekonomi Islam. Engkau pun hendaklah menjaga setiap keping mata wang agar tidak jatuh ke tangan orang bukan Islam dalam keadaan bagaimanapun. Janganlah makan dan berpakaian kecuali produk negara Islammu sendiri.”

Beliau sebenarnya menyeru supaya umat Islam mencari inisiatif dan berusaha untuk berdaya saing, berkemahiran, ada kendiri yang tinggi, celik ekonomi dan perniagaan. Kini di Malaysia, kita boleh berbangga kerana terdapat pilihan-pilihan yang pelbagai yang boleh menguntungkan umat. Cuma tidak boleh selesa setakat ini sahaja, kita perlu ceburi lebih banyak bidang contohnya hartanah, ICT dan lain-lain.

Pada peringkat rakyat marhaen, Abdurrahman bin Auf RA merupakan sosok tubuh yang sepatutnya dijadikan contoh kerana beliau telah berusaha dan berjaya meloloskan umat Islam di Madinah daripada kemelut cengkaman monopoli ekonomi Yahudi Bani Qainuqa’. Berusahalah keluar daripada zon selesa (atau tidak selesa) masing-masing untuk menerokai pelbagai ilmu bahkan terdapat prasarana yang pelbagai untuk meningkatkan status ekonomi diri.

Pada peringkat pemimpin Muslim di Malaysia pula, sudah-sudahlah bercakaran disebabkan perbezaan politik, sudah tibanya masa bersepakat untuk maslahah umat Islam. Dan sudah-sudahlah membolot apa yang bukan hak kalian, dan kembalikan kepada mereka yang berhak. Ingin saya berkongsi sedikit tentang perspektif Islam mengenai pentadbiran yang baik (good governance), seperti disebut oleh Dr Muhammad A Al-Buraey dalam satu ucaptama di Brunei Darussalam, antaranya adalah:

1. Di dalam memilih pegawai untuk memenuhi jawatan dan jabatan di kerajaan, hendaklah dipilih berdasarkan kualiti.

2. Pemegang kuasa pentadbiran negara hendaklah didisplinkan mengikut Islam.

3. Para pemimpin diperiksa mengikut saluran undang-undang yang telus sekiranya berlaku sebarang pertikaian.

4. Meningkatkan ketelusan (transparency) dan mengelakkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan konflik kepentingan (conflict of interest) seperti budaya kronisme.

5. Menyediakan kebajikan, perlindungan dan keperluan setiap ahli masyarakat mengikut dasar-dasar negara dengan saksama.

Sebagai penutup, satu pandangan yang menarik dikemukakan oleh Australian Institute of Criminology (AIC),  bahawasanya kesukaran ekonomi tidak boleh dipukul rata sebagai penyebab berlakunya jenayah di kalangan masyarakat. Semasa krisis ekonomi The Great Depression pada tahun 1930-an, kemiskinan dan pengangguran memang menyebabkan sesetengah orang untuk melakukan jenayah, namun begitu majoriti masyarakat masih menjauhkan diri daripada jenayah. Kesukaran ekonomi telah dijadikan sebagai alasan dan bukannya faktor bagi pihak yang kurang moral dan nilai terpuji pada dirinya.

Bagi seorang Muslim, krisis sebegini berakar-umbi daripada kegagalan penerapan aqidah. Apa yang disimpulkan melalui kajian AIC, rawatan kepada masalah jenayah bukanlah dapat diselesaikan dengan mudah melalui penyusunan semula (rearrangement) fabrik ekonomi di dalam masyarakat, tetapi sebaliknya adalah rearrangement kepada cara pemikiran mereka yang bermasalah. Dalam kata yang lain, sekiranya mereka yang miskin ini menjadi kaya sekalipun, dengan pola pemikiran yang bermasalah, mereka tetap akan mencuri dan melakukan jenayah dalam bentuk yang berbeza (jenayah kolar putih umpamanya) di kemudian hari!

Nah! Bagi semestinya bagi seorang aktivis sebuah pergerakan Islam sederhana, saya mempercayai bahawa tarbiyah dan ta’dib masyarakat untuk kembali kepada Islam adalah solusi asas kepada semua kemelut yang melanda kepada masyarakat, sambil menginsafi bahawa penguasaan ekonomi yang halal dan diberkati oleh umat Islam adalah antara jihad yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 11)

Norhidayah Ismail

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mahupun Ismaweb.net.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat