6 SARANAN KEPADA PELAJAR LEPASAN SPM

Buat mereka yang menerima keputusan  Sijil Peperiksaan Malaysia atau SPM bagi tahun ini, berikut merupakan enam saranan saya kepada anda

1. Sedar yang ia bukan sekadar kejayaan kita seorang.

Setelah menerima keputusan tersebut maka lakukanlah sujud syukur dan bertasbih serta beristighfar sesuai dengan saranan yang telah Allah SWT nukilkan dalam surah An-Nasr ayat 3. Ucapkan terima kasih kepada ibu bapa atas bantuan, pengorbanan dan doa yang mereka berikan. Ucapkan terima kasih kepada para guru, minta mereka halalkan ilmu dan berikan nasihat. Usah lupakan rakan-rakan yang sama berjuang dengan kita serta doakan kebaikan untuk mereka.

2. SPM bukanlah pengakhiran segalanya.

Bagi yang menerima keputusan SPM yang kurang memuaskan anggaplah ianya bukan pengakhiran. Bagi saya keputusan SPM yang cemerlang adalah bonus, tetapi ia bukan penentu kejayaan dalam hidup kita. Apa yang lebih penting ialah kita memiliki sikap seorang pelajar yang cemerlang iaitu apabila gagal ia jadikan sebagai batu loncatan atau pembakar buat kejayaan seterusnya.

Sentiasa optimis dengan apa yang telah Allah tetapkan sekiranya kita sudah melakukan yang terbaik. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud:
“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

3. Mula Merancang Kerjaya.

Perancangan untuk kerjaya bukanlah sekadar memilih institusi atau bidang yang ingin dilanjutkan selepas ini, lakukan juga ujian personaliti terhadap kerjaya yang bersesuaian dengan kita dan yang mendapat permintaan tinggi pada masa akan datang. Kenalpasti juga bidang-bidang kritikal yang kurang golongan Melayu dan Islam di dalamnya agar kita dapat benar-benar membantu ummah hari ini. Di samping itu, mula telusuri kemahiran-kemahiran yang penting dan diperlukan pada masa akan datang.

4. Mula merancang Aktivisme.

Mula belajar menyusun masa dengan baik, pastikan kita sentiasa memiliki masa untuk aktivisme Islami ketika berada di Institusi Pengajian Tinggi dalam dan luar negara. Mula kenali pertubuhan-pertubuhan Islam yang sesuai untuk kita ikuti dan beraktivisme. Perkara ini sangat penting di dalam dunia mahasiswa kerana ianya boleh membantu kita memiliki agenda yang besar, berkemahiran, berpengalaman dalam bidang dakwah serta terhindar dari menjadi mahasiswa yang tidak produktif. Antara persatuan yang disarankan oleh saya di IPT ialah Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA).

5. Peluang untuk menjadi ilmuan sentiasa ada.

Jangan pernah merasa berputus asa untuk belajar atau meneruskan pengajian. Saya sendiri secara peribadi merupakan produk Sarjana Muda Sambilan bermula dari tahun pertama pengajian. Akhirnya, saya berjaya tamat pengajian dengan cemerlang berserta pengalaman kerja, berkeluarga dan terlibat aktif dalam NGO. Rancang kerjaya, masa, kewangan, kemahiran, kesihatan dan emosi kita dengan baik. InsyaAllah akan dipermudahkan urusan kita.

Akhir kata, buat semua penerima keputusan SPM:

6. Kejayaan kita untuk Ummah.

Kita sangat yakin anak-anak muda Melayu dan Islam hari ini akan menjadi aset Ummah pada masa akan datang. Oleh itu jadilah anak muda yang produktif, harumkan serta kembalikan maruah Agama dan Bangsa kita. Ingatlah, kejayaan kita adalah untuk Ummah!

Suhayl Salmi,
Timbalan Pengerusi KRIM Nasional
(Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat