7 Kekurangan Belanjawan 2021 Yang Ramai Tidak Sedar

Ramai yang telah memberikan komentar positif terhadap Belanjawan Negara 2021 yang telah dibentangkan Jumaat lalu. Maka tidak perlulah saya ulang.

Saya lebih berminat untuk mengulas dari aspek penambahbaikan yang perlu dilakukan, bukan sahaja bagi Belanjawan 2021 tapi beberapa kelemahan ini saya perhatikan telah berlaku sejak dahulu lagi:

1) Belanjawan terlalu memberikan fokus kepada aspek material, namun pembangunan modal insan seakan dipandang sepi. Satu contoh mudah ialah dalam bidang teknologi, pelbagai inisiatif diberikan seperti kredit komunikasi (RM180 untuk B40), Program Jaringan Prihatin (RM1.5 Bil) dan Jendela (RM42 Mil) bagi memastikan ketersambungan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah. Namun, pengisiannya bagaimana? Kempen kesedaran penggunaan internet yang berhemah siapa yang bertanggungjawab? Apa jaminan semua fasiliti digital ini tidak akan disalahguna untuk tujuan negatif? Tanpa dana untuk pembangunan dalam aspek insaniah, teknologi bakal menjadi pisau yang membunuh, bukan bermanfaat bagi penggunanya.

2) Hal ehwal agama Islam sebagai agama persekutuan dengan penganut yang majoriti sepatutnya mendapat peruntukan yang lebih besar. Ini adalah kerana ia memberikan kesan terus terhadap pembangunan modal insan yang saya sebutkan dalam isi nombor 1 di atas. Ternyata, dana RM1.4 Bil, elaun bulanan guru takmir dan saguhati kepada imam/bilal/siak dan guru KAFA adalah amat tidak memadai. Tambahan pula, tiada bantuan khas yang mensasarkan khusus sekolah agama, tahfiz dan institusi yang bakal melahirkan cendiakawan serta ulama’ terkemuka di Malaysia. Begitu juga tidak dinyatakan bantuan khas kepada NGO-NGO terutama NGO Islam yang saban tahun bertungkus lumus melakukan pelbagai inisiatif kebajikan masyarakat dan program pembangunan jatidiri dengan hanya berbekalkan wang saku ahli-ahli sendiri yang tidak seberapa.

3) Lebih mengecewakan peruntukan yang diberikan kepada KBS juga adalah sangat rendah dan lebih terfokus kepada pembangunan sukan seperti infrastruktur sukan (RM103 Mil), pembangunan sukan prestasi tinggi dan e-sport (RM55 Mil) dan Skim Tekun Sukan (RM20 Mil). Namun tiada langsung belanjawan yang dikhususkan untuk pembangunan jatidiri dan pemulihan anak muda, padahal negara sedang bergelut dengan barah keruntuhan akhlak, salahlaku seks dan jenayah juvenil yang amat meruncing. Adakah e-Wallet berjumlah RM50 hanyalah gula-gula untuk pancing undi anak muda?

4) ‘Sin Tax’ hanya memberikan fokus terhadap rokok dan vape tapi bagaimana dengan arak, dadah, perjudian dan pornografi? Tidak langsung dinyatakan apa-apa dana atau polisi yang akan digunakan untuk mengekang elemen paling kejam yang menjahanamkan negara ini.

5) Makanan segera dan minuman ringan yang sebenarnya termasuk dalam kategori Sin Tax juga tidak disentuh padahal ia merupakan antara faktor utama Malaysia mencatatkan kadar obesiti yang tinggi di kalangan negara-negara dunia. Jika pemimpin dan rakyat tidak sihat, apa makna kemajuan infrastruktur dan kekayaan ekonomi negara? RM 19 Mil untuk Agenda Kesihatan Nasional di bawah KBS adalah bagus, tapi mencegah dalam aspek pemakanan adalah lebih efektif dari pelbagai inisiatif kesukanan yang lain.

6) Belanjawan Pendidikan yang merupakan antara yang terbesar berjumlah RM50.4 Bil juga banyak tertumpu kepada aspek infrastruktur, teknologi digital, bantuan kewangan, simpanan, latihan dan pemakanan. Persoalannya adakah semua ini akan membantu penyelesaikan masalah utama pendidikan negara seperti isu bebanan kerja dan penempatan guru, isu disiplin murid, sistem penilaian, silibus bersepadu yang merangkumi akhlak dan cara hidup Islam serta banyak lagi

7) Antara lain yang menarik minat saya ialah belanjawan sebanyak RM16 Bil yang diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan dan RM2.3 Bil untuk penyelenggaraan kelengkapan ATM. Semua maklum saban tahun memang jumlah yang besar diperlukan bagi peralatan pertahanan yang amat penting bagi menjamin kestabilan dan kedaulatan negara. Persoalannya adakah jumlah ini ‘justified’ atau negara kita terpaksa menanggung beban penyelenggaraan yang tinggi disebabkan peralatan lama yang ketinggalan serta kekurangan pakar tempatan untuk diupah? Ketika kita mampu membangunkan teknologi cecair Formula1 yang diiktiraf dunia, pelan serta perancangan yang sama perlu dibangunkan dalam teknologi pertahanan demi kemaslahatan Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat