Kenyataan Hanipa Maidin buka pintu maksiat puak songsang

BANGI, 15 Zulkaedah 1440H, Khamis – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mengutuk kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin, berhubung lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kelmarin.

Malah, kenyataan ‘songsang’ Hanipa itu bakal memberi ruang kepada ‘kaum yang dikutuk’ Islam sebagaimana ayat al-Quran itu, untuk mengadakan perhimpunan dan perarakan di negara yang agamanya adalah Islam.

Selasa lalu, Hanipa dalam jawapan di Parlimen berkata, perarakan Hari Wanita yang disertai aktivis LGBT pada 9 Mac lalu, tidak bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan Subseksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Mohamed Hanipa berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff yang bertanya mengapa penganjuran perhimpunan itu tidak dikenakan tindakan lanjut dan siasatan dihentikan, sedangkan ia bercanggah dengan Islam dan Perlembagaan Negara.

“Sekiranya pun benar dakwaan YB bahawa apa yang dilakukan bercanggah dengan Islam, pihak Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah mana-mana undang-undang yang sedia ada untuk mendakwa apa-apa perbuatan yang dikatakan bercanggah dengan Islam,” kata Hanipa.

Presiden Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan Hanipa, khususnya yang mengatakan Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa mendakwa perarakan LGBT atau yang bercanggah dengan Islam, amat tidak boleh diterima sama sekali.

“Adakah benar perarakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sempena Hari Wanita pada Mac lalu tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimana Fasa 3(1) yang mengatakan Islam sebagai agama Persekutuan? Kenapa hanya diambil Fasa 10 sahaja?Inilah hujah AG (Peguam Negara) dan patutlah polis tidak berani untuk ambil apa-apa tindakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Haji Aminuddin yakin dengan kenyataan Hanipa itu maka gerakan puak songsang berkenaan akan menjadi semakin berani dan berleluasa, kerana polis tidak boleh mengambil tindakan terhadap mereka.

Katanya, ia dibimbangi lama-kelamaan akan mempengaruhi minda golongan muda sehingga tidak lagi merasakan amalan songsang itu sebagai satu kesalahan dan dosa.

“Hari ini, himpunan ini disertai oleh ratusan tetapi esok lusa mungkin ribuan. Inilah yang telah berlaku di negara-negara barat seperti Australia, AS dan UK. Pada masa sama, negara sedang dihujani kes-kes yg tidak bermoral oleh pemimpin kerajaan.

“Adakah ini semua tidak mengancam kedaulatan agama Islam dan orang-orang Islam? Kalau masih ada yang tak terasa terancam, saya tak pastilah di mana iman kita semua,” katanya.

Beliau mengingatkan Hanipa bahawa perbuatan LGBT tetap menjadi kesalahan, terutama dalam kesalahan jenayah syariah Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri lain.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/07/18/kenyataan-hanipa-maidin-buka-pintu-maksiat-puak-songsang/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat