AMALAN KEROHANIAN BUKAN PUNCA AKADEMIK MEROSOT

Selama bertahun-tahun kita menyaksikan pelajar-pelajar dari sekolah agama mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang dan seringkali mendapat antara ranking teratas di seluruh negara.

Lihat saja sekolah seperti Kisas, Sek Men Agama Persekutuan Kajang, Labu, sekolah-sekolah menengah integrasi dan sekolah agama negeri seperti Maahad Muhammadi dan Naim Lil Banat. Kesemuanya mampu menghasilkan produk- produk hebat dari segenap segi.

Hakikatnya, amalan kerohanian tidak pernah menjadi penyebab kepada kemerosotan atau menjadi gangguan kepada prestasi akademik murid.

Suara-suara yang cuba menyalahkan amalan kerohanian ini cuba memisahkan agama dari kehidupan sedangkan agama itu sendiri adalah kehidupan.

Mereka menyalahkan amalan kerohanian sebagai punca kegagalan pelajar namun hakikatnya mereka tidak mampu menyediakan alternatif yang lebih baik untuk menangani masalah kekosongan jiwa anak-anak ini.

Kebencian mereka terhadap agama Islam khususnya tidak mampu dibendung lagi.

Kehidupan kita ini akan sentiasa disibukkan dengan sesuatu. Jika bukan disibukkan dengan perkara yang baik dan bermanfaat, maka ia akan disibukkan dengan perkara yang melalaikan dan merosakkan.

Anak-anak, terutama bila semakin meningkat remaja memang tercari-cari identiti dan gaya hidup.

Mereka mula berdepan dengan pelbagai krisis dan stress, dan mereka mencari cara utk mengatasinya. Maka kita ajarkan bagaimana Islam memandu hidup mereka.

Agama Islam telah menggariskan gaya hidup seorang muslim tanpa mengabaikan usaha dan dorongan untuk berjaya dalam segala aspek kehidupan.

Agama Islam telah mengajarkan cara-cara untuk mencapai ketenangan di celah kesibukan, cara untuk kekal termotivasi dalam menggapai kejayaan.

Setiap pagi dalam bacaan solat dan zikir, pelajar menetapkan kembali azam untuk menjadi insan yang cemerlang.

Setiap hari dalam bacaan doa, pelajar memohon kepada Allah untuk dijauhkan daripada rasa malas, takut dan sikap-sikap negatif lain.

Pelajar juga diajarkan untuk bangun di tengah malam bagi berdoa dan menangis meluahkan masalah kepada Allah, yang mampu membawa ketenangan dalam hidup yang tengah resah.

Islam telah menyediakan sumber untuk umatnya mencari ketenangan dan kekuatan apabila dalam kebuntuan. Inilah rahsia kehebatan umat Islam.

Sejarah telah membuktikan Islam pernah berada di puncak kejayaan tatkala umat Islam berada di puncak ketaatak kepada Allah.

Kita lihat saja di barat, mereka pilih untuk hidup tanpa agama dan menjadi athies. Kononnya amalan-amalan kerohanian tidak mampu dibuktikan kejayaannya dari sudut sains dan logik akal.

Kemudian lihat pula berapa ramai antara mereka yang hidup jadi tunggang langgang tiada arah tuju? Stress lalu pilih untuk bunuh diri? Hidup tanpa nilai dan peraturan yang akhirnya merosakkan masyarakat umum?

Bukan itu sahaja, malah kejayaan mereka yang melangit tinggi juga tidak mampu mengubati jiwa kosong yang memerlukan limpahan spiritual lalu mereka akhirnya memilih untuk mengakhiri hidup mereka dengan membunuh diri walaupun berada di ambang kemewahan dan kejayaan.

Kerana itulah pada hari ini, banyak gerakan di barat yang menyeru masyarakat mereka kembali kepada agama, kerana melalui agamalah mereka menemui ketenangan, mereka belajar tentang prinsip-prinsip yang patut dipegang dalam kehidupan.

Ada juga gerakan-gerakan yang menyeru cara hidup meditasi, yoga dan sebagainya sebagai sumber ketenangan bagi insan-insan yang sentiasa sibuk. Prinsip-prinsip seperti the 5am club “diperkenalkan” sebagai sumber kejayaan masyarakat barat.

Nah, mereka semua kembali perjuangkan amalan-amalan yang sudah lama diajar dalam Islam dan memberikannya nama baru tanpa mengaitkannya dengan Tuhan yang benar.

Kita sedia maklum bahawa FMT merupakan lidah liberal dan golongan liberal suka mencari sebab untuk menjauhkan manusia daripada ikatan agama.

Masalah mereka yang paling besar ialah apabila umat islam kembali kepada agama mereka kerana mereka memperjuangkan sekularisme iaitu jangan mencampur adukkan agama dengan urusan dunia.

Rasulullah SAW mengajar kita untuk mengimbangi antara tuntutan dunia dan akhirat malah dunia ini adalah sebagai ladang pahala untuk akhirat. Nasihat Rasulullah ini mengisi kekosongan jiwa dan membolehkan umat Islam maju dengan nilai kemanusiaan yang tinggi.

Dr Suriani Sudi
Ketua Wanita ISMA 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat