Oleh Nor Liyana Mohamad Rosly
IPOH, 14 Februari – Pemuda Isma cawangan Ipoh telah membuat satu laporan polis berkaitan kes dakyah Kristian oleh sekumpulan remaja dari Korea Selatan tempoh hari.
Laporan tersebut telah dibuat oleh Muhammad Nurfadzli Anuar di Balai Polis Kampung Rapat, Ipoh pada petang semalam.
Menurut Nurfadzli yang juga merupakan ketua Pemuda Isma Ipoh, laporan tersebut telah dibuat kerana perbuatan menyebarkan dakyah agama Kristian kepada orang Islam adalah salah disisi undang-undang negara Malaysia.
“Menyebarkan dakyah Kristian adalah tidak dibenarkan di Malaysia. Malahan di negeri Perak sendiri, Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam 1988 telah dikuatkuasakan sejak tahun 2012 lagi”
“Kita bimbang dakyah ini telah berlaku di negeri Perak juga kerana tertera nama Sekolah Kebangsaan Chenderong Kelubi, Tanjung Tualang pada baju salah seorang kanak-kanak dalam video yang tular itu” tambah Nurfadzli lagi.
Perkara yang sama juga telah disuarakan oleh pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung dalam hantarannya di Facebook tempoh hari yang menyatakan kerisauan terhadap penyebaran dakyah Kristian ini mungkin telah berlaku di Perak.
Susulan laporan ini, Nurfadzli yang mewakili Pemuda Isma Ipoh berharap agar siasatan lanjut dapat dijalankan oleh pihak polis kerana ianya jelas bercanggah dengan undang-undang negara.
“Saya harap pihak polis dapat jalankan siasatan berkaitan kes ini. Perbuatan dakyah ini adalah kesalahan berat kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan Perkara 11 (4) yang melarang agama lain menyebarkan ajaran mereka kepada orang Islam di Malaysia”
“Kami, Pemuda Isma Ipoh juga mohon agar tindakan dapat diambil terhadap mereka kerana melanggar perlembagaan persekutuan adalah satu jenayah”, ujarnya lagi.
Laporan ini adalah berikutan penyebaran video yang tular di Facebook tempoh hari yang memaparkan sekumpulan remaja dari Korea Selatan menyebarkan dakyah Kristian dalam satu program bersama Orang Asli di Cameron Highland.