BANGI, 25 Feb – Tular sebuah video seorang ustazah diminta merangkak oleh ibu kepada salah seorang murid.
Perkara ini mendapat perhatian Presiden Ikatan Guru- Guru Muslim Malaysia ( iGuru), Ustaz Azizee Hasan melalui kenyataan media merasa kesal dengan tindakan seorang ibu kepada murid yang mengaibkan seorang ustazah di dalam kelas tersebut.
Ujarnya, tindakan tersebut jelas mencabar profesionalisme seorang guru.
”Sewajarnya seorang ibu jika ada isu berkaitan dengan guru perlu dibawa ke meja perundingan dengan pihak sekolah dan bukan mengambil tindakan tersebut secara terburu- buru tanpa kawalan emosi dengan mengaibkan guru tersebut.
”Ibu tersebut sepatutnya boleh berbincang dengan pihak PIBG atau menggunakan saluran perundangan yang bersesuaian,” katanya.
Tambah ustaz Aziziee lagi tindakan merakam video tersebut juga telah melanggar hak individu dan pihak sekolah perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan apa cara sekalipun agar profesion perguruan dihormati dan dijunjung tinggi.
Pihak sekolah atau mereka yang berkaitan perlu menggunakan tindakan undang- undang bagi mengelak perkara seperti ini berlaku.
Sebelum ini iGuru pernah mencadangkan diwujudkan kod etika penguatkuasaan disiplin kepada pelajar dan penggubalan akta yang dapat membela warga guru apabila berdepan denga tindakan ibu bapa.