Surat Cinta Covid19 buat para isteri

1. PKP adalah masa emas untuk semua para suri. Inilah masa yang sangat sesuai untuk para suri menunaikan semula hak-hak rumahtangga yang tidak sempat dilaksanakan kerana kesibukan kerjaya.

2. Kerutinan menyeimbangkan masa antara kerjaya dan rumahtangga kini berubah sama sekali. Hak rumahtangga dapat ditunaikan dengan lebih sempurna lantaran banyak masa para suri berada di rumah.

3. Pastikan dalam tempoh PKP para suri tidak hanya berkurung di rumah, gunakan tempoh ini untuk mengaut sebanyak mungkin pahala menunaikan tanggungjawab dalam rumahtangga. Rebutlah peluang memasak, membasuh kain, mencuci pinggan dan sebagainya kerana sebelum ini, masa para suri banyak dihabiskan di pejabat, jalan raya sesak untuk pulang ke rumah dan lain-lain lagi.

4. Manfaatkan masa PKP yang ada dengan menyantuni anak-anak dengan lebih dekat. Ada yang bertahun-tahun menjalani rutin keluar dari rumah seawal pagi dan balik di malam hari. Anak-anak pula telah masuk ke kamar tidur dan diurus sepenuhnya oleh pembantu rumah. Kini para suri boleh melakukan semuanya sendiri… indahkan!

5. Jadikan 24 jam masa bersama anak-anak sebagai waktu berharga kurniaan Ilahi, jauh sekali rasa rimas dan lelah dengan karenah anak-anak. Kenakalan dan ragam mereka, keletah dan jenaka, tangisan serta rengekan anak-anak adalah taman hiburan buat seorang suri.

6. Taaruf para suri dalam mengenali pasangan tidak pernah berhenti. Kesibukan kerjaya menyebabkan para suri kurang mengenali perubahan dan tingkahlaku suami yang semakin meningkat usia. Ambillah ruang ini bagi memahami perubahan tersebut sekaligus mengeratkan lagi keintiman rumahtangga yang telah sedia ada.

7. Pandemik wabak covid19 mencemaskan semua pihak. Sebagai muslim kita amat yakin sesuatu keburukan dan malapetaka yang menimpa umat adalah teguran dan muhasabah dari Yang Maha Esa dan pastinya ada hikmah besar tersurat dan tersirat. Teruskan munajat dan doa dalam rukuk dan sujud agar suasana wabak ini cepat pulih. Semoga Allah swt melindungi kita semua.

Ustazah Dr Hjh Nornajwa Ghazali
Ketua Wanita Isma Ipoh

Pensyarah Pendidikan Islam IPG Kampus Ipoh

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat