Pembelian panik : Punca Covid-19 semakin merebak?

Oleh : Nurul Hajjar Atan

Hari ini telah masuk hari yang kesembilan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan. Rata-rata masyarakat Malaysia telah faham dan peka akan penularan virus COVID-19 boleh merebak secara rambang tanpa kita sedari.

Berita melaporkan 95 peratus dari jumlah rakyat Malaysia telah memberi kerjasama yang baik bagi menuruti PKP yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Namun, kita masih bimbang akan tahap mentaliti masyarakat kita berkenaan pembelian panik (panic buying) yang mungkin berlaku sekali lagi. Pembelian panik atau penimbunan berasaskan ketakutan dapat ditakrifkan sebagai perbuatan membeli sejumlah besar barangan dan produk dalam kuantiti yang besar.

Atau dalam takrifan lain ianya merupakan pembelian barangan keperluan secara tidak terancang dan berlebihan apabila berlaku sesuatu perkara yang di luar jangkaan. Biasanya apabila berlaku sesuatu malapetaka seperti tsunami, wabak, perintah berkurungan dan larangan pergerakan oleh pihak berkuasa. Perkara ini berlaku kerana orang ramai berasa panik dan bimbang jika keperluan makanan tidak mencukupi ketika berlakunya perkara di atas.

Melatih mentaliti yang bijak berbelanja bukanlah bermula dari hari ini. Tetapi ia telah  dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Namun, apabila masyarakat diuji dengan musibah sebegini, perasaan bimbang yang melampau terus mengubah gaya hidup mereka.

Kesannya, berlaku kekecohan dengan suasana yang tidak aman dan mungkin pergaduhan untuk mendapatkan barangan keperluan. Sedangkan pihak kerajaan telah memberi jaminan bahawa penjualan barang keperluan harian tidak akan dihentikan sepanjang PKP dan harga barang juga masih terkawal.

Hal ini amat dibimbangi oleh pihak kerajaan kerana jika pembelian panik berlaku sekali lagi, maka fasa PKP yang dikuatkuasakan ini akan menjadi lebih lama dan menyebabkan berlakunya gelombang ketiga penularan COVID-19.

Bagi mengekang situasi ini daripada berlaku, kerajaan telah membuat pelbagai inisiatif iaitu dengan mengehadkan isi rumah yang perlu keluar untuk membeli barang keperluan sama ada di pasaraya mahupun di kedai runcit. Hanya ketua keluarga sahaja yang dibenarkan keluar dan membeli barang hanya sekadar yang diperlukan pada satu-satu tempoh masa. Bukan pembelian dalam kuantiti yang banyak sehingga boleh berlakunya pembaziran dan sebagainya.

Selainkan itu, kerajaan juga telah menguatkuasakan pihak yang bertanggungjawab seperti Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia untuk bersiap siaga di seluruh pelosok negara bagi menangani isu ini.

Wahai rakyat Malaysia, jadilah masyarakat yang bijak! Bukan hanya bijak menjadi netizen dalam mengkritik isu politik, tetapi bijak mengurus mental sendiri dari terjebak dengan perkara yang boleh membodohkan diri. Akhir kata, bersamalah kita membantu kerajaan dan para barisan hadapan untuk terus berusaha menangani virus COVID-19 ini dari terus menular. Moga kita dapat menjalani kehidupan seperti sediakala tanpa virus COVID-19!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat