Pertandingan TikTok KPT menghina ‘frontliners’ negara

TINDAKAN menteri KPT menganjurkan pertandingan TikTok dilihat seperti menghina “Frontliners” negara. Mereka bertungkus lumus mempertahankan negara sehingga tidak sempat makan dan tidur, kita pula bersuka ria berhibur dengan pertandingan TikTok. Nak sebut “bosan” duduk di rumah pun amat sensitif kepada frontliners yang mungkin tidak berkesempatan pun duduk dirumah, inikan pula nak tonjolkan kita berhibur di rumah sebagai satu pertandingan.

Meskipun post tersebut secara pantasnya telah dipadam, ia sebenarnya menimbulkan seribu satu persoalan yang merisaukan terhadap hala tuju yang bakal di bawa di dalam KPT. Apa budaya yang ingin ditonjolkan oleh Menteri?

Kami faham, menteri mahu memanfaatkan kekosongan masa dan kebosanan belia di luar sana di saat menjalani tempoh PKP ini. Tetapi banyak lagi inisiatif lain yang lebih bermanfaat daripada TikTok yang boleh dilaksanakan seperti:

1. Diskusi atas talian KPT bersama belia
2. Diskusi ilmiah bersama tokoh-tokoh intelektual
3. Bedah buku
4. Pertandingan Inovasi Bahan Nyah Covid oleh IPT
5. Pertandingan menulis cerpen atau artikel.
6. Pertandingan menghasilkan poster, video kreatif berbentuk motivasi, informasi berkait covid.
7. Pertandingan berkait sambutan bulan Ramadhan
Dan banyak lagi.

Masyarakat sedia maklum betapa rosaknya budaya yang dibawa di dalam aplikasi Tik Tok ini dan ianya diakui oleh Menteri Agama kita sendiri di dalam penulisannya bertajuk “Hukum Bermain Tik Tok” (https://bit.ly/2JNMTiD).

Menurut Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Tik Tok hanya perbuatan sia-sia dan tidak mendatang sebarang faedah. Malah boleh mendatangkan fitnah terhadap pengguna. Adakah menteri KPT mahu membawa anak muda kepada perbuatan yang tidak mendatangkan faedah malah sia-sia?

Justeru itu, kami menyeru Menteri atau mana-mana pihak penganjur untuk membatalkan dan menarik balik pertandingan Tik Tok tersebut sebelum netizen menghasilkan lebih banyak lagi “kritikan kreatif” kepada menteri.

“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.” Saidina Ali R.A

Wafiq Azman
Presiden PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat