Adam Naufal dan Fawwaz mendengar cakap-cakap kaki pancing terdapat satu tempat “lubuk ikan” di Sungai Jengka, Pahang. Mereka berdua teruja dan pergi memancing di lubuk berkenaan. Gembira tak terkata. Mana tahu mereka juga boleh menakluki lubuk ikan berkenaan. Terbayang-bayang di fikiran mereka ikan-ikan yang banyak ini nanti boleh dijual dan hasilnya pasti lumayan. Wow.
Sampai di lubuk berkenaan, mereka dapat melihat “tanda” banyaknya ikan di situ. Tanpa melengahkan masa, mereka pun terus mengambil posisi sebelah menyebelah dan terus memancing. Teruja tak terkata.
Tiga jam berlalu, karung Adam dipenuhi ikan sedang karung Fawwaz kosong. Adam Naufal pulang ke rumah dengan hati yang gembira sedang Fawwaz pulang dengan hampa.
Sampai di rumah, tanya si ayah, “Bagaimana memancing hari ini? Jawab Adam, “Terbaik”. “Fawwaz, cmna?”Tiada jawapan, hanya senyuman kehampaan.
Pesan si ayah, “Jangan bersedih hampa. Rezeki itu milik Allah. Sekalipun kamu berdua memancing bersama-sama dan sebelah menyebelah, tetapi percayalah bahawa hanya Allahlah yang berkuasa menentukan rezeki seseorang. Jadi kena sentiasa bersyukur dan berusaha dan bersabar. Lain kali boleh cuba lagi. InshaAllah.” “Baik ayah”. Sahut mereka berdua.
Benar. Rezeki itu milik Allah. Kita jangan putus asa dan berhenti berusaha. Kita mesti yakin dan berdoa.
Us. Hj. Razman Ibrahim
Ketua, Biro Pembangunan Tokoh,
Kluster Dakwah ISMA