Oleh : Nor Hidayah Ismail
Antara perkara Dharuriyat lain yang terkesan dengan wabak Covid-19 dan musim PKP ini adalah tentang hifz al aql, terutamanya dalam soal pendidikan di institusi-institusi sama ada sekolah, universiti, madrasah dan juga masjid.
Sistem pendidikan yang kita kenali di Malaysia banyak berasaskan pertemuan secara fizikal, pelajar-pelajar mendapatkan pendidikan melalui institusi seperti sekolah dan bukan persekolahan di rumah (home schooling), serta prasarana untuk pendidikan atas talian (e-learning) secara besar-besaran belum tersedia dengan rapi.
World Economic Forum menyatakan pandemik Covid-19 memerlukan kebergantungan kita kepada teknologi dan keproaktifan ibu bapa untuk persekolahan di rumah.
Sektor pendidikan kita seakan-akan lumpuh dengan krisis wabak Covid-19, bahkan solusi dilakukan secara terpisah-pisah di antara institusi pendidikan ke institusi pendidkan yang lain, mengikut inisiatif masing-masing.
Tanggungjawab sebagai pendidik kini bukan terletak di tangan guru, pensyarah atau tutor, terapi kini baton diserahkan kepada ibu bapa dan keproaktifan diri sendiri untuk mendapat ilmu.
Bagaimanakah pendidikan adab dan akhlak dapat terus diterapkan dalam keadaan begini, iaitu dalam keadaan yang sudah semakin tebal individualistik dan semangat kemasyarakatan juga semakin pudar.
Keadaan seperti pandemik Covid-19 ini semakin mengabsahkan lagi sifat keakuan (ananiyah) dan menternak lebih ramai hikokomori.
Bagaimanakah penerapan ilmu rohani dapat terus menyegarkan iman dan aqal rakyat? Dalam suasana solat jemaah, kuliah di masjid, ibadah umrah dan haji, serta syiar Islam lain yang hidup dengan pertemuan fizikal, dihentikan buat beberapa ketika bagi ummat Islam.
Adakah momentum untuk terus menghidupkan syiar Islam akan bertambah sukar apabila keadaan semakin baik nanti.
Falsafah pendidikan dan pengurusan kesihatan mental perlu difikirkan semula, dan bagaimana kita ingin menyusun kembali agenda pendidikan dan agenda kesejahteraan minda (bahkan agenda hifz al aql) dengan cara yang lebih efektif.
Secara keseluruhan, apabila krisis berlaku sepertimana pandemik Covid-19, menjadi platform untuk kita memikirkan semula apakah perkara-perkara yang betul-betul menjadi keutamaan, kepentingan dan keperluan manusia. Jadi menetapkan dasar ekonomi, dasar pendidikan dan dasar sosial negara, perkara Dharuriyat ini perlu diperkayakan dan dipastikan supaya benar-benar menjadi kalis krisis (crisis proof), dan mencapai Maqasid Syariah .
Rakyat yang sibuk memikirkan tentang survival diri akhirnya akan dilalaikan daripada objektif menegakkan hak hukumiyyah Allah. Menjadi tanggungjawab pemerintah Muslim yang bertaqwa dan seluruh ummat Islam untuk berjuang memastikan seluruh ekosistem berkait perkara Dharuriyat sentiasa terpelihara dan terkemaskini mengikut perkembangan semasa.
Kita perlu melihat dengan kaca mata bagaimanakah untuk membawa manusia mencapai maksud menegakkan objektif ketaatan pada Allah yang semestinya akan membawa kemaslahatan kepada manusia secara keseluruhan.
Bahagian I : https://isma.org.my/blog/maksud-keperluan-asas-mengikut-maqasid-syariah-bahagian-i/
Rujukan lanjut :
https://muftiwp.gov.my/…/3099-irsyad-usul-al-fiqh-33-pendah…
https://muis.org.my/…/maqasid-syariah-dipandu-wahyu-bukan-…/