Ramadan, Peluang Buat Pendosa

Sejadah dihampar dan dia mula mengangkat kedua tangan. Terasa getaran pada suaranya saat kalimah ‘Allahuakbar’ dilaungkan. Air mata mula bergenang dan akhirnya jatuh berjurai dari kelopak mata. Asyikin tidak mampu menahan sebak saat menghadap Ilahi. Selesai memberi salam pada rakaat terakhir tahajudnya, dia teringat kejadian yang menjentik hatinya petang kelmarin.

‘Dah berminggu PKP ni. Bosan juga 12 jam tidur, 12 jam menghadap tik-tok, insta, facebook. Aih, apa lagi nak buat ni’, bisik Asyikin sambil memerhatikan paparan skrin di telefon bimbitnya.

Tiba-tiba mata Asyikin tertarik melihat gambar yang dihiasi dengan kata-kata penuh makna di laman Instagram miliknya.

“Kenapa harus bergembira menyambut Ramadhan? Ibnu Rajab Al-Hambali berkata, bagaimana tidak gembira? Seorang mukmin diberi khabar gembira dengan terbukanya pintu-pintu syurga. Tertutupnya pintu-pintu neraka. Bagaimana mungkin seorang yang berakal tidak bergembira jika diberi khabar tentang suatu waktu yang didalamnya para syaitan terbelenggu. Dari sisi manakah ada suatu waktu menyamai waktu ini (Ramadhan)?”

Dia tersentak melihat ‘posting’ tersebut di Instagram. Belum sempat dia melihat siapakah pemilik ‘posting’ tersebut, skrin telefonnya gelap. Kehabisan bateri.

Asyikin segera membelek kalendar yang terletak di atas meja. ‘Masih di awal bulan Ramadhan’, sayu nada suaranya. Dia mengambil buku journal kehidupannya lalu menulis dengan penuh khusyuk.

Ramadhan Buat Pendosa.

Ya Allah, ampuni aku.
Kerana dahulu aku biarkan bulan ini berlalu dengan kejahilanku. Jika berpuasa, aku hanyalah menuruti perintah ibu ayahku. Tanpa perasaan takut dan tunduk kepadamu.

Ya Allah, ampuni aku.
Ramadhan lalu aku sia-siakan dengan bermaksiat terhadapmu. Sedangkan bulan itu adalah anugerah terindah darimu.

Ya Allah,
Masih adakah kesempatan buat pendosa sepertiku menyambut nikmat Ramadhan?
Ya Rahman Ya Rahim,
Berikanlah aku kesempatan, Ya Allah. Berikan peluang buat hambaMu yang penuh dosa sepertiku untuk menikmati Ramadhan ini.

Jadikanlah Ramadhan sebagai permulaan buat pendosa ini berubah menjadi hamba yang taat padaMu.
Aku ingin menghadapMu dengan penuh tunduk dan khusyuk.
Aku ingin membaca dan menghayati AlQuran dengan penuh kecintaan terhadapMu.
Aku ingin memanfaatkan masa yang kau beri seolah-olah aku tidak akan hidup lagi esok.
Aku ingin berzikir padaMu setiap masa dengan jiwa yang sentiasa membenarkan keagunganMu.

Izinkan aku menyambut tetamu istimewaMu ini, sebagaimana hambaMu yang terlalu rindu bertemu denganMu.

Wahai diri, yang penuh dengan dosa,
Inilah saat untuk kau kembali, mencari redha dan cintaNya yang sekian lama kau lupa.
Ramadhan adalah peluang buatmu pendosa,
Allah membuka segala pintu-pintu syurgaNya dan melapangkan pintu keampunanNya buatmu.
Dia menambah pahala atas setiap amalanmu.
Dia memberi peluang buatmu.
Adakah engkau masih memilih untuk membiarkan peluang ini berlalu? Dan mungkin peluang ini tidak akan kau perolehi lagi selepas ini?

Ya Allah,
Berikan aku nikmat mencintaiMu di bulan Ramadhan dan kekuatan untuk berubah serta tetap di jalan yang Engkau redhai.

Asyikin membaca semula nota yang ditulis buat dirinya. Buku ditutup. Dia menangis teresak-esak mengenang dosa yang pernah dilakukan.

‘Ya Allah, Ramadhan ini peluang buat pendosa sepertiku. Ampuni aku dan seluruh umat Islam. Dekatkan kami padaMu’, doa Asyikin sambil menginsafi diri. Dia berazam menjadikan Ramadhan, bulan yang mulia ini sebagai peluang untuk berubah menjadi hamba yang taat kepadaNya.

Mimi Azlina Bt Razali
Timb Biro Pembangunan Sumber Manusia,
PEMBINA Bangi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat