Alhamdulillah, tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata beliau mahu mengambil pendekatan untuk tidak memberi tumpuan kepada soal politik kerana merasakan rakyat sudah cukup muak dengan pertelingkahan yang tidak berkesudahan adalah satu langkah yang tepat.
Kita menyeru kepada para ahli politik agar jangan jadikan isu-isu kecil sebagai alat politik murahan. Jawatan adalah amanah manakala politik itu adalah pilihan. Jadi mengutamakan amanah adalah lebih besar dari berpolitik terutama masa gawat ini. Isu rakyat sekarang ialah macam mana nak hidup bukan untuk melihat perebutan kuasa.
Dengan keadaan ekonomi yang semakin meruncing, pengangguran semakin meningkat, pendapatan semakin mengurang maka tugas utama kerajaan ialah bagaimana memastikan rakyat dapat meneruskan kelangsungan hidup. Semua pihak perlu berganding bahu untuk sama-sama menyelesaikan masalah ini tatkala negara sedang dilanda krisis kerana wabak COVID-19.
Apa yang berlaku 22 bulan lepas dan tiga minggu pergolakkan politik sehingga melibatkan Agong itu telah benar-benar memualkan rakyat dan mereka tidak mahu lagi dibebani isu politik. Lagipun PRU15 sudah tinggal lebih kurang tiga tahun saja lagi atau mungkin lebih awal, jadi orang-orang politik diminta bersabarlah sekejap.
Syabas kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menunjukkan tauladan yang sangat baik dan kematangan yang tinggi dalam memimpin negara terutamanya tatkala kita dalam krisis.
Semoga Allah terus pelihara negara kita ini dari perpecahan, malapetaka dan kemusnahan. Ameen.
Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)