KUANTAN, 27 Mei – Kes pemandu mabuk sehingga menyebabkan kematian semalam menambahkan lagi kebencian orang awam terhadap arak dan pemandu mabuk.
Disebabkan itu Ahli Jawatankuasa Tarbiah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Hj. Zaizul Azizi Zaman menyeru orang awam untuk menyuarakan kebencian terhadap penjualan arak secara terbuka tanpa kawalan.
“Kita ambil tindakan masing-masing, selagi tidak melanggar undang-undang tetapi setiap daripada kita cuba cegah daripada perkara (kematian disebabkan pemandu mabuk) ini berlaku.
Buatlah sekadar kemampuan, kalau kita ada kuasa, gunakan kuasa. Kita mahu tengok perkara ini dihentikan.
“Sampai bila kita nak tengok orang menjadi mangsa kepada pemandu mabuk,” katanya yang menetap di Kuantan.
Ujarnya lagi, kebencian ini bukan mahu menafikan hak orang untuk mabuk tapi perlu bertanggungjawab atas apa yang berlaku.
“Jika hendak mabuk jangan memandu. Bagi orang Islam, tinggalkan dosa besar ini,”katanya lagi.
Semalam seorang lelaki maut dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan untuk bertugas syif malam di Jalan Pintasan Kuantan akibat bertembung dengan kenderaan yang dipercayai dipandu pemandu mabuk dan melawan arus.