BANGI, 11 Jun – Selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan diganti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 10 Jun hingga 31 Ogos membolehkan rakyat rentas negeri.
Perkara ini disambut baik oleh seluruh rakyat Malaysia terutama bagi mereka yang ingin pulang ke kampung dan melancong dalam negara.
Tetapi kegembiraan itu disambut dengan sikap segelintir netizen yang mewujudkan ketakutan psikologi sehingga mendoakan agar wujudnya kluster kampung virus covid-19.
Bagi Dr. Sarifah Nurhanum Syed Sahuri, kaunselor berdaftar ketakutan psikologi ini memang wujud, tambahan lagi apabila kerajaan melonggarkan sekatan.
“Pada saya aktiviti menyebarkan ketakutan (fear mongering) mungkin berpunca daripada sikap atau pandangan skeptik segelintir individu yang merasa takut atau bimbang yang melampau sehingga memberi kesan kepada orang lain.
“Cuma dalam kes covid-19 ini kerisauan itu merujuk kepada tinngkah laku individu lain seperti pulang ke kampung dan tidak mengamalkan jarak sosial yang mungkin akan menyebabkan peningkatan semula kes covid 19 dalam masyarakat,” katanya.
Bagi Pensyarah Kanan (Pendidikan) Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), mereka yang mewujudkan fear mongering ini perlu perlu masa untuk adaptasi situasi dan peraturan baru pkpp.
“Buat masa ni kita fokus untuk jaga diri kita dan keluarga, jika terbukti memang pkpp ni tiada kesan peningkatan kes, fear mongering ini akan berkurang dan lenyap sendiri,” ujarnya.
Pada masa yang sama, wujud fear mongering ini di kalangan petugas perubatan sendiri.
“Kita perlu faham pengalaman petugas perubatan mengendalikan kes sewaktu pandemik ini yang sememangnya memberi kesan psikologi kepada diri mereka.
Kajian juga menunjukkan sedemikian, ada di kalangan mereka yang trauma, anxiety dan depresi.
“Jadi mungkin mereka pun tidak sengaja mewujudkan fear mongering ini kerana kerisauan.
“Mereka pun baru habis bertugas, tiba-tiba kerajaan buat PKPP jadi kerisauan masih berada di tahap yang tinggi,” katanya.
Oleh itu Dr. Sarifah menyarankan agar anggap itu sebagai nasihat untuk meneruskan hidup dengan normal baharu dan lebih fokus dengan perancangan aktiviti masing-masing
“Bagus juga ada orang memerhati dan mengingatkan supaya kita lebih berhati-hati,” tambahnya lagi.