Para sahabatku adalah umpama bintang-bintang di langit. Barang siapa yang mengikuti mereka akan mendapat petunjuk.” (Maksud hadis)
Demikianlah penghormatan yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat r.a. dan semua yang mewarisi mereka. Penghormatan yang diberikan bukanlah kerana pangkat, kemasyhuran, keilmuan, kekayaan tetapi kerana ketaqwaan yang dimiliki oleh mereka.
Khalifah Umar Bin Abdul Aziz atau nama penuhnya Abu Jaafar Umar Bin Abdul Aziz Bin Marwan Bin Hakam, seorang khalifah keenam Bani Umayyah. Beliau seorang yang sangat banyak meninggalkan teladan yang baik buat umat ini.
Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak. Peribadi mulia ini banyak diwarisi dari datuknya Saidina Umar Bin Al-Khatab. Baginda amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat.
Beliau telah menghafaz al-Quran sejak masih kecil lagi. Merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan, berguru dengan beberapa tokoh terkemuka seperti Imam Malik Bin Anas, Urwah Bin Az-Zubair, Abdullah Bin Jaafar, Yusuf Bin Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.
Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehidupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.
Beliau juga pernah melantik seorang pegawai gabenor di sebuah daerah. Seseorang telah datang membuat aduan dengan mengatakan bahawa gabenor yang dilantik itu pernah memegang jawatan yang sama semasa pemerintahan Hajjaj Bin Yusuf (seorang yang terkenal dengan penumpah darah).
Setelah menyelidik perkara itu, beliau serta-merta bertindak memecat gabenor itu.
Orang itu membantah dengan mengatakan, “Aku hanya bertugas sekejap dengan Hajjaj”
Khalifah Umar Bin Abdul Aziz menjawab, “walaupun penyertaannya selama satu hari atau kurang lagi daripada itu, sudah cukup baginya sebagai tidak layak untuk berkhidmat kepada masyarakat awam.”
“Seseorang itu dikenali daripada jenis aktiviti, kegiatan yang disertainya.”
“Aktiviti atau kegiatan seseorang bersama orang-orang soleh dan bertaqwa akan meninggalkan kesan ketaqwaan terhadap pribadi dan sifatnya. Begitu juga aktiviti dan penyertaan seseorang bersama ahli maksiat akan meninggalkan kesan maksiat.”
Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadisnya yang bermaksud, “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Moga pribadi khalifah agung ini memberikan teladan buat umat ini dalam melaksanakan amanah kepimpinan negara mahupun sesebuah organisasi. Lantiklah individu yang betul-betul layak dan ahli dalam sesuatu bidang untuk kebaikan bersama bukan hanya kepentingan pribadi dan parti semata.
Usahlah ulangi kesilapan lalu kerana implikasinya amat besar teruatama buat generasi akan datang.
Moga Allah terus pandu umat ini.
Kaslawati Binti Kassim
JKC Isma Seremban