BANGI, 2 Julai – Semalam Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil mempersoalkan sikap Pas berhubung kempen “Buy Muslim First” (BMF) yang pernah dijuarai sebelum ini.
Bagi Norhelmi Jamil, Yang di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Seremban, kempen BMF ini tidak patut dijadikan modal politik kerana objektifnya jelas untuk memperkasakan ekonomi umat Islam.
“Ianya bukan agenda politik yang sempit tetapi agenda umat Islam yang luas, besar dan perlu diutamakan,” katanya.
Tambahnya kuasa beli yang terbesar di negara ini juga adalah orang Islam, maka seharusnya disalurkan kepada usahawan muslim juga dan natijahnya akan menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara terutama dalam meghadapi wabak covid 19 ini.
Ahli Amanah itu juga mendakwa kempen ini mendapat tajaan daripada parti politik.
“Kempen ini diusahakan dengan keringat dan duit poket oleh penggerak kempen dan para usahawan sendiri.
“Malahan umat Islam juga menyokong usaha ini kerana manfaat akan kembali kepada mereka juga bahkan tiada keraguan dari segi kehalalan produk dan kualiti servis yg diberikan,” katanya lagi.