Kita minta MCA dan DAP kecam kenyataan GERAKAN ini dan nyatakan sokongan mereka juga terhadap inisiatif kerajaan yang menetapkan hari Jumaat sebagai Hari Jawi. Ini penting kerana parti-parti politik dapat membentuk pandangan umum sesuatu masyarakat terhadap sesuatu perkara.
Dalam kes ini, kita dapati ada banyak ‘komen-komen jahat’ terhadap inisiatif ini di portal-portal berita Bahasa Mandarin. Itu merupakan segmen sasaran MCA dan DAP, maka mainkanlah peranan masing-masing untuk memberikan gambaran yang baik terhadap tulisan Jawi.
MCA perlu tunaikan tanggungjawabnya sebagai sebahagian daripada kerajaan untuk turut sama-sama mengangkat inisiatif tersebut dengan menjadi agen pendidik segmen masyarakat Cina untuk tidak alergik pada warisan negara itu.
Manakala DAP pula perlu buktikan bahawa mereka tidak menentang usaha tersebut kerana Menteri Agama zaman pemerintahan PH pun pernah melancarkan inisiatif yang sama, walaupun kita tidak nampak keseriusannya. Inilah masanya untuk buktikannya.
Kepada Gerakan, anda telah membuat kesilapan yang sangat besar kerana baru sahaja kalian mengumumkan mahu bekerjasama dengan PN dalam pilihanraya umum akan datang, tetapi kalian hanya menjauhkan mereka kerana mereka pastinya tidak mahu terpalit sekali.
Kita akan terus memantau apa yang parti-parti dan NGO-NGO Cina perkatakan di akhbar-akhbar Bahasa Mandarin kerana kita sedar bahawa banyak yang tidak dilaporkan di akhbar arus perdana Bahasa Melayu dan Inggeris mengenai kenyataan-kenyataan mereka terutamanya yang celupar.
Saya menyeru agar setiap lapisan masyarakat tidak mengira kaum dan agama untuk mengambil positif akan inisiatif kerajaan mengenai warisan negara ini. Kita semua perlu merasakan Jawi adalah warisan Malaysia, warisan kita semua bersama kerana nenek moyang kita semua membuktikan bahawa mereka pernah hidup aman dan sejahtera ketika tulisan Jawi merupakan sistem tulisan utama negara sebelum tulisan rumi diperkenalkan.
Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
12 Julai 2020