Ketua Gerakan Massa Pemuda ISMA, Soufi Anual hari ini telah meletakkan satu tanda aras baru dalam meneruskan usaha mengembalikan nama asal Bukit Melaka yang telah ditukar oleh Portugis kepada Bukit St Paul ketika mereka menjarah Kota Melaka.
Pertemuan dan perbincangan bersama Perbadanan Muzium Melaka ( PERZIM) hari ini telah memutuskan bahawa Pemuda ISMA, PERZIM dan NGO-NGO yang bergabung dalam PEMBELA akan mengemukakan satu kertas cadangan yang dilengkapi dengan pelbagai fakta sejarah yang menyokong nama nama asal bukit tersebut sebagai Bukit Melaka.
Pemuda ISMA juga akan terus menggerakkan usaha mengumpul tandatangan persetujuan untuk mengembalikan nama tersebut yang kini sudah berjaya mengumpulkan sekitar 16,000 lebih tandatangan warganegara yang patriotik dan bersetuju dengan tindakan tersebut.
Dalam pada itu Saudara Soufi Anual turut menjemput mana-mana NGO, Pertubuhan atau Persatuan yang ada baik di Melaka mahupun di luar Melaka untuk sama-sama mengembleng tenaga bagi memastikan maruah tanah air yang dicalar Portugis suatu ketika dahulu dapat ditebus kembali dengan kembalinya nama tempat bersejarah ini kepada nama asalnya, Bukit Melaka.