Menghayati semangat Kemerdekaan kali ke-63 tahun, Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sekali lagi mengangkat inisiatif ‘Ini Negara Perjuangan’ dengan menggunakan slogan ‘Kembalikan Nama Asal, Hapuskan Jejak Penjajah’ dengan menuntut nama asal Tanjong Penaga diguna pakai semula menggantikan nama Georgetown dan nama Butterworth kepada Bagan Tuan Kechil.
Jawatankuasa Gerakan Massa Pemuda ISMA, Mohd Soufi Anual berkata, sehingga ke hari ini, orang tempatan masih merujuk kawasan ini sebagai Tanjong apabila hendak ke sini dan nama Parlimen masih kekal sebagai Tanjong, dan bukannya Georgetown.
“Kita rakyat Malaysia kena ingat, sejarah pahit buat Tanah Melayu apabila pulau ini tergadai,”
“Di ambang Kemerdekaan, British memperbodohkan kita apabila kononnya risau orang Melayu tidak mampu mentadbir negara sendiri, hatta hendak membuat secucuk jarum pun tak reti,” katanya dalam kenyataan media.
Sementara itu, Ketua Pemuda ISMA ISMA Pulau Pinang, Muhamad Zulazmi Saidin berkata pengubahan kembali ke nama asal dapat memberi satu identiti serta kesedaran bagi mengembalikan jati diri negara berteraskan Melayu dan Islam.
“Kita berharap dengan pengubahan identiti asal dapat melambangkan Tanah Melayu dan memberi nafas baru kepada generasi muda akan datang,”
“Dengan penukaran nama tempat dari yang diberikan penjajah kepada nama asal, merdeka akan datang lebih bermakna dan memberi impak positif kepada anak muda kita,” katanya.
Ahmad Muslihuddin Nik @ Seman
Biro Komunikasi Korporat & Multimedia (BKOM)
ISMA Seberang Perai Utara (SPU)