Kematian satu Tazkirah buat Yang Bernyawa

Oleh : Ustazah Hajjah Kaslawati Binti Kassim

Kelas pengajian al-quran dan tajwid yang terhenti seketika kami teruskan buat kali kedua kelmarin.

Usai kelas kami ke rumah sahabat mengaji kami yang Allah uji dengan kehilangan anak sulungnya di kedinginan pagi, saat menuju ke Surau Al-Muqarrabin untuk menunaikan Solat fardhu Subuh secara berjamaah.

Beliau dilanggar oleh sebuah kereta dan meninggal di tempat kejadian.

Keluarga ini masih terkesan dengan pemergian arwah yang juga sangat dekat di hati para jemaah surau, ahli kelas al-quran kami.

Masakan tidak, arwah adalah seorang yang ringan tulang, banyak membantu dan berbakti kepada surau dan masyarakat. Pada malam sebelum kejadian arwah masih sempat menyapu surau, pagi Jumaat sebelum kejadian masih beriya-riya mengemas stor surau al-Muqarrabin.

Kami berkumpul bersama pagi semalam untuk memberi sokongan dan semangat kepada Puan Hajjah Normah Makmor sekeluarga.

Kedua ibu dan anak ini sangat rapat, sering berulang-alik dari rumah mereka ke surau untuk menunaikan solat berjamaah dan menghadiri program-program yang dianjurkan di surau berkenaan.

“Mak cik tidak mampu lagi untuk pegang kunci surau dan masih tak mampu nak tengok beg merah arwah yang sering dibawa ke surau,” katanya ketika saya peluk mak cik Normah erat-erat.

Antara yang amat memberi kesan kepada saya apabila beliau berkongsi pula kisah kain milik arwah yang dihadiahkan oleh sahabat al-quran kami.

“Lama dia berada rumah tukang jahit, berbincang untuk tempahan baju itu. Selepas dia pergi makcik baru tahu rupanya dia nak baju itu dijahit cantik seperti baju Tuanku Permaisuri untuk dpakai bulan Oktober nanti, bulan Oktober hari lahir dia ustazah,” kata makcik Normah kepada saya.

Dalam pertemuan itu saya sempat beri sedikit kata-kata semangat dan bacakan doa sebagai kekuatan kami bersama.

Wakil dari Ajk Wanita Surau Al-Muqarrabin dan jemaah dari Taman Angsamas yang turut hadir jiga menyampaikan sumbangan kepada keluarga beliau.

Dua minggu lepas saya sendiri juga telah menziarahi beliau dan menyampaikan kutipan dari warga Ikatan Muslimin Malaysia Isma Seremban buat beliau sekeluarga.

Sungguh kematian itu adalah tazkirah yang hidup buat kita yang masih bernyawa. Moga Allah pilih kita juga untuk pergi kembali kepadaNya pada saat yang paling baik, pada hari yang paling baik dan dengan amal yang paling baik. Aamin..

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat