Tahun ini kita meraikan kemerdekaan yang ke 63 dengan tema “Malaysia Prihatin’. Tema “Malaysia Prihatin” membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi pandemik Covid-19, tanpa mengira latar belakang ideologi politik merentasi segmen masyarakat dan budaya samada pihak kerajaan, swasta mahupun orang perseorangan.
Spirit “Malaysia Prihatin” perlu disemarakkan dalam segenap kehidupan rakyat Malaysia terutama diperingkat sekolah lagi demi mewujudkan perpaduan dan keharmonian kaum serta menyuburkan patriotisme terhadap watan.
Ia perlu disematkan dalam ingatan untuk rakyat negara ini mengukuhkan kembali asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Setahun sebelum kemerdekaan Tun Razak melalui Penyata Razak 1956 menyatakan:
“..tujuan dasar pelajaran hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar,walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.” (Federation of Malaya 1956:Perenggan 12)
Antara cabaran tersebar dari nikmat kemerdekaan ialah menjadikan seluruh rakyat Malaysia belajar dibawah satu bumbung pendidikan yang sama dengan satu kurikulum dan satu bahasa pengantar iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Baru-baru ini kita dipolemikkan dengan isu sekolah vernakular sehingga mmbawa perdebatan panjang yang mengundang sensitiviti kaum apabila ruang lingkup pendidikan dilihat dari kacamata politik dan kaum masing-masing.
63 tahun kemerdekaan sepatutnya menjadikan kita matang untuk memikirkan apakah bentuk dan acuan pendidikan yang sesuai untuk generasi akan datang agar kita tidak terpisah lagi dalam kerangka politik kepartian dan perkauman sempit.
Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) mengajak semua pihak untuk menjadikan Penyata Razak 1956 sebagai asas untuk mewujudkan sekolah satu aliran demi menyatukan semua bangsa dalam satu bumbung pendidikan.
Kunci kejayaan Malaysia pada masa depan bergantung kepada perpaduan erat semua kaum dan sifat saling hormat menghormati antara satu sama lain. Perpaduan juga boleh menjadi “bom jangka” jika tidak ditangani dengan betul.
Kemerdekaan sewajarnya mendidik kita menjadi bangsa yang menjunjung perlembagaan dan berdiri teguh dengan prinsip Rukun Negara.
Kes mengibar jalur gemilang terbalik, tidak menghormati lagu Negaraku, mempersoalkan tulisan jawi adalah satu bentuk generasi yang tidak menghargai semangat patriotisme.
Pendidikan ‘patriotisme’ wajib dihidupkan semula di peringkat sekolah lagi bagi membendung gejala perpecahan dan rasisme. Anak-anak sejak dibangku sekolah perlu diajar erti menghargai lagu “Negaraku’,menghormati prinsip Rukun Negara dan menyanjung keluhuran perlembagaan serta mengelak dari isu-isu sensitif seperti kontrak sosial, bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama rasmi, kedaulatan raja-raja Melayu, tidak wajar dipersoalkan.
Hal ini dapat direalisasikan jika kita ada kesungguhan untuk mewujudkan satu aliran pendidikan yang menaungi kepentingan semua kaum, di mana semua murid dari pelbagai bangsa dapat bersatu hati menerima ilmu di bawah satu bumbung sistem persekolahan sejak di usia tadika lagi.
Kemerdekaan bukanlah bermaksud kebebasan mutlak sehingga hilang jati diri tetapi ia adalah kemerdekaan jiwa dan minda dari segala bentuk penjajahan fizikal dan pemikiran. Pendidikanlah wadah membina kemerdekaan hakiki. Tanpanya akan hilang jati diri dan rapuh semangat toleransi dan saling hormat menghormati setiap generasi. Anak-anak yang merdeka adalah cerminan masa depan negara.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-63.
Malaysia Prihatin.
Mohd Azizee bin Hasan
Presiden i-Guru
30 Ogos 2020