Patut la ayah tak pernah belikan ‘Durian Cina’ Raub…

Oleh : Kaslawati Binti Kassim

Larian solo menyusuri Pantai Beserah memberikan semangat yang luar biasa. Kaki melangkah namun kepala penat memikirkan tanah bertuah kelahiran saya ini. Jauh fikiran saya melayang ke daerah tempat saya dibesarkan, apakah agaknya kesudahan isu tanah haram di bumi Raub?

Saya membesar di Raub sejak darjah satu, namun saya memang tidak pernah kenal apa itu Musang King hinggalah saya berusia hampir empat puluh tahun. Yang saya tahu itu semasa saya kecil adalah durian-durian yang banyak di Raub, yang dijual di bandar Raub adalah ‘Durian Cina’,  arwah ayah selalu sebut begitu, kenalkan kepada kami tiga beradik begitu.

Dusun durian di Raub memang banyak, pokok-pokok durian berbaris-baris di tanam berselang-seli dengan anak-anak pisang. “Ini semua ‘Durian Cina’,” kata arwah ayah pada kami. Doktrin ayah menyebabkan kami memang tidak pernah teringin untuk merasa ‘Durian Cina’ itu sampai kami bekerja dan berkeluarga.

Ayah akan belikan kami durian kampung untuk kami sekeluarga makan. Pada masa itu, yang kami tahu durian yang sedap dan berkualit adalah durian kampung. Sebelum saya kenal Musang King, apabila anak-anak saya minta belikan durian, durian kampung adalah pilihan saya. Tak pernah terlintas pun untuk saya membeli Musang King.

Umum maklum harga durian kampung dengan harga Musang King yang kami kenal sebagai ‘durian Cina’ jauh berbeza. Musang King sangat mahal harganya, saya sendiri pertama kali menikmatinya semasa kami tiga beradik pulang ke Raub pada tahun 2018. Kami berkongsi duit untuk membeli beberapa biji Musang King untuk kami rasa buat kali pertama keenakan Musang King Raub yang heboh diperkata orang.

Memang sedap rasanya, sangat berkualiti buahnya. Seulas Musang King memberi satu ribu nikmat kepada penggemar durian.

Hari ini, setelah puluhan tahun berlalu, terbongkar kisah  kebun-kebun durian ini diusahakan di atas tanah yang bukan milik mereka. Mereka menceroboh tanah bertuah di bumi Raub dengan menanam dan mengaut hasil Musang King yang bukan sedikit nilainya. Lebih tiga puluh tahun mereka mengusahakan tanah haram dan telah pun menikmati hasil yang cukup lumayan.

Setakad hari ini apakah sebenarnya tindakan yang diambil ke atas mereka? Pencerobohan tanah-tanah kerajaan secara terancang dan sedar ini adalah isu besar yang boleh menjejaskan kedaulatan negara. Sebagai anak Pahang saya sungguh kecewa andai perkara ini dipandang entang dan dipolitikkan oleh ahli-ahli politik semata. Sebelum ini Suara-suara gabungan NGO khususnya dalam Pembela termasuk ahli-ahli Ikatan Muslimin Malaysia Isma lantang bersuara bagi mengusahakan sehabis baik agar isu ini mendapat pengadilan terbaik.

Saya dan pastinya seluruh rakyat Malaysia mahu semua pihak bertanggungjawab menyelesaikannya dan menghadapkan penceroboh ini ke muka pengadilan. Tanah mesti dikembalikan kepada kerajaan negeri, penceroboh mesti dibawa ke muka pengadilan dengan bayaran ganti rugi setimpal kerana menceroboh tanah-tanah ini sejak sekian lama.

Terbaca post dari FB Musang King Alliance yang terjemahannya berbunyi,

Pekebun yang tidak memiliki tanah menyambut baik langkah “pemutihan” kerajaan negeri, cuma mereka berharap kerajaan negeri boleh mengutama dan menjamin hak serta kepentingan mereka berbanding keuntungan konsortium terlibat dalam “rancangan pemutihan tersebut”.

“Kami semua adalah orang Pahang dan kami bangga  menjadi orang Pahang, oleh itu kami bersedia berkongsi hasil dan  bersama kerajaan negeri untuk memaju dan menaikkan industri durian serta  ekonomi Pahang  melalui integrasi sumber dan pentadbiran yang berkesan.”

Menurut kenyataan akhbar, wakil Save Musang King Alliance telah mengemukakan 4 prinsip asas iaitu, perkongsian yang adil, konsep jual beli bebas, cukai tanah yang munasabah dan pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar.

Bagaimanapun difahamkan bahawa perkongsian berkenaan telah pun dipadamkan dan halaman Facebook Save Musanng King tidak lagi wujud.

Apakah sebenarnya yang cuba dibincangkan dan diputuskan ? Apakah status dari penceroboh tanah boleh bertukar kepada rakan kongsi? Atau adakah penceroboh ini telah mendapat geran tanah? Kami inginkan penjelasan.

Sebelum ini kelihatan terdapat juga pihak yang bersungguh-sungguh membela para penceroboh. Bimbang sebenarnya bila mendengar masih ada rundingan yang dilakukan dalam isu ini. Parti kerajaan melalui MCA pernah menubuhkan satu jawatankuasa khas membela penceroboh tersebut. Mereka ini kelihatan kuat melobi dan mengugut, atas nama undi. Adakah usaha mereka berhasil lagi? Kami rakyat marhaein ingin penjelasan yang tuntas dalam isu ini.

Sebagai anak Pahang saya sangat berharap agar tindakan yang betul-betul adil segera diambil sebelum semua tanah kerajaan disapu bersih oleh pemberi-pemberi rasuah dan para pengkhianat negara. Janganlah kerana kepentingan politik  dan parti, kedaulatan negara dan rakyat terjejas.

Terkenangkan arwah ayah, saya syahdu. Patutlah Ayah tak pernah belikan kami ‘Durian Cina’ itu kerana sudah tentu dia tak mampu. Harganya tersangat mahal, makan durian Cina akan menyebabkan dapur kami tidak berasap berhari-hari mungkin. Moga Allah SWT merahmatimu duhai ayahandaku, dikau telah lakukan yang terbaik semampumu dalam mendidik dan membesarkan kami. Sungguh didikanmu amat bermakna dalam hidupku. Al-Fatihah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat