Oleh : Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Bin Selamat
Solusi politik yang berlaku kini semakin membimbangkan dan tidak akan membawa apa-apa hasil kepada ummah. Ini kerana ianya dijalankan oleh kelompok yang mementingkan diri sendiri demi survival politik mereka.
Rakyat terutama orang Melayu Islam yang menantikan dengan penuh harapan kepada pembelaan nasib bangsa dan agama umpama menanti sesuatu yang tidak akan kunjung tiba. Ahli-ahli politik yang kini menjadi pemerintah dan kerajaan tiba-tiba lidahnya bertukar menjadi kelu dalam memperjuangan isu-isu Islam dan Melayu.
Di mana kesungguhan mereka dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin terutama yang datang dari negara China? Apa pula nasib Allahyarham Adib yang terbunuh secara kejam semasa berkhidmat? Kenapa begitu lunak dalam isu berkaitan UEC dan Sekolah vernakular? Apa sudah jadi dengan kempen Buy Muslim First? Adakah mereka sudah menjadi bisu dan buta?
Itu sekadar beberapa isu yang suatu ketika dahulunya lantang diperjuangkan oleh parti-parti Melayu Islam yang kini sudah pun memegang tampuk pemerintahan.
Rakyat selamanya tidak akan berdiam diri dan akan terus memperjuangkan isu-isu Islam Melayu. Malaysia perlukan nafas baru dalam politiknya yang terlalu lama dikuasai oleh kelompok elit dan berkepentingan.
Kebangkitan itu akan muncul dan didokong oleh semua rakyat Malaysia yang setia dan cintakan tanah air ini sebagai sebuah negara berdaulat tanpa sebarang penguasaan asing dalam apa bentuk sekalipun.