So you never have Sex before?

Masih terngiang-ngiang pertanyaan seorang pakcik tua yang saya pernah bantu kira-kira 10 tahun lalu. Pertanyaan yang sangat mengejutkan dan menyebabkan saya sangat bersyukur saya dapat menerangkan kepada beliau yang sebenarnya masih wujud ramai lagi orang yang mempertahankan kesucian diri mereka dan hanya menyerahkan segalanya melalui jalan nikah yang diberkati.

Ceritanya begini.

Semasa saya berada di pekan Clayton, selepas kelas di universiti untuk membeli beberapa barang keperluan, saya telah disapa oleh seorang lelaki tua. Rupa-rupanya pakcik ini telah kehilangan telefon bimbitnya dan meminta tolong saya untuk meminjamkan telefon.

Setelah selesai urusannya, dia mengucapkan terima kasih dan mahu bersalaman dengan saya. Sebagai seorang Muslimah, sudah tentu saya hanya meletakkan tangan di tepi bahu sambal menundukkan sedikit kepala dan berkata, “No worries, it’s my pleasure to help”. Mungkin dia agak terasa kerana saya tidak menyambut huluran tangannya, dia pun bertanya “ Why can’t you shake hand with me?”.

Sambil tersenyum saya pun menyatakan bahawa sebagai seorang Muslimah, saya tidak boleh bersentuhan dengan mana-mana lelaki selain daripada mahram sendiri. Rupa-rupanya dia sangat terkejut dengan jawapan saya dan dia menghormati pendirian saya. Dia tidak pernah tahu tentang Islam sebelum ini. Cuma mungkin perkara ini agak janggal, dia pun bertanya soalan adakah saya tidak pernah membuat sebarang hubungan $eksual sebelum ini.

Sudah tentu! saya jawab dengan yakin dan izzah (penuh kebanggaan). Dia mengatakan apa yang awak buat ini sangat bagus tetapi janggal. Remaja di sini katanya hampir semua pernah mengadakan hubungan tersebut dan itu adalah normal!

Peristiwa ini telah menyebabkan saya lagi bersemangat dan bersungguh-sungguh menjaga ikhtilat (hubungan lelaki dan perempuan). Semuanya kerana saya merasakan saya adalah duta kecil Islam dan Malaysia semasa berada di luar negara, jadi saya perlu menjaga diri dan maruah saya sebagai seorang Muslimah solehah.

Ada yang terkejut apabila saya mengatakan saya tidak pernah berjumpa tanpa ahli keluarga, bersembang, apatah lagi berdating dengan suami saya sebelum saya bernikah dengannya 6 tahun lalu. Jadi bagaimana ingin mengenali hati budi seseorang sebelum dia menjadi seorang suami?

Saya hanya meyakinkan diri saya yang cukuplah saya menjaga diri dan maruah diri serta tingkatkan kemahiran yang perlu ada sebelum bergelar suri di hati seorang suami. Allah telah menyatakan dalam al-Quran dan ayat inilah yang saya pegang erat.

“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (Qs. An Nur:26)

Jadi bagi saya, daripada sibuk saya ingin tahu mengenai “si dia”, lebih baik saya perbaiki diri saya supaya Allah rezekikan kepada saya seorang lelaki yang terbaik untuk saya. Bukan tidak boleh berjumpa, saya pergi beraya rumahnya bersama ahli keluarga (5 kereta datang! hahaha) dan di situ kita boleh mengenali dia dan keluarganya.

Saya tidak mahu berdua-duaan kerana saya tahu yang ketiga pastilah syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk merosakkan manusia. Saya memilih untuk memelihara  diri dan  keluarga saya serta dapat menjauhi zina itu sendiri.

Semoga penulisan ini menjadi peringatan untuk diri sendiri terutamanya dan kepada sahabat semua. Bukanlah nak mengatakan saya inilah yang terbaik dan tidak pernah buat dosa langsung. Tidak, kita semua adalah pendosa, tetapi sebaik-baik pendosa adalah orang yang bertaubat kepada Tuhannya. Kehidupan kita ini sangat berharga dan kita yang memilih untuk menjadi permata yang bernilai ataupun kaca yang rapuh dan mudah pecah berderai.

 

Fatin Aqilah Muhamad Fadzil
Ahli ISMA Melaka Tengah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat