Oleh : Mohd Azrin Bin Samsudin
Covid-19 menuntut kita hidup dalam suasana baru, suasana menjauhkan diri daripada orang lain. Tidak dibenarkan berjabat tangan, penjarakan fizikal mesti dijaga rapi, bahkan pertemuan digalakkan secara dalam talian.
Teringat saya kepada tulisan al-Marhum Dr Abdul Karim Zaidan dalam buku beliau “Usul al-Da`wah” – Asas Dakwah. Beliau menyatakan antara lain, manusia mesti hidup secara bermasyarakat, perlukan bantuan dan pertolongan, saling ziarah menziarahi. Dengan cara ini mereka akan dapat merealisasikan tuntutan ulung dalam Islam iaitu mengajak kepada kebaikan dan meninggalkan kemungkaran (surah Ali Imran: 110).
Al-Quran menyatakan dalam surah al-`Asr. Ayat terakhir mengingatkan kita peri pentingnya saling berpesan-pesan dengan kebaikan dan kesabaran. Semua ini adalah amal dakwah dalam “ta`awun `Ala al-Birr wa al-Taqwa”.
Hari ini urusan dakwah secara langsung atau tidak seolah dipaksa tinggal dengan alasan norma baru. Bayangkan media sosial yang ada pada hari ini tidaklah dipenuhi dengan pengisisan Islam, jika ada sekalipun tidak banyak bahkan tidak dilayari oleh majoriti manusia termasuk orang Islam.
Baru-baru ini saya ada menghubungi pihak Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) untuk urusan kelas Iqra’ anjuran Akademi Quran At-Tartil, kami ingin dapatkan bilangan saudara baru yang belum pandai membaca al-Quran untuk kami bimbing. Apa yang diberitahukan kepada saya, bahawa dalam situasi sekarang semua kelas-kelas pengajian Islam saudara baru hanya dijalankan secara dalam talian.
Pengalaman saya sebagai salah seorang tenaga pengajar dalam bidang agama dan Bahasa Arab, kita dapati kelas-kelas secara dalam talian ini cabarannya luar biasa berbanding kelas secara berdepan.
Oleh itu, dakwah dalam norma baru perlu difikirkan dengan lebih kreatif, terutama dakwah yang perlukan sentuhan dan pertemuan yang berkala. Antara resepi kejayaan dakwah Baginda Rasulullah SAW adalah dengan pertemuan berkala bersama para sahabat, berjabat tangan, pelukan dan sentuhan serta belaian kasih, ziarah menziarahi dan lain-lain yang sering dilakukan oleh para daie sebelum ini.
Pilihan terbaik dalam perlaksanaan dakwah ialah bersemuka dengan menjaga dan mematuhi norma bahru yang disarankan. Adakah kita mahu melakukannya? Atau Covid-19 ini menjadi alasan yang kukuh untuk kita beristirehat di rumah?