Aqidah Urat Nadi Kehidupan Seorang Muslim

Oleh : Kaslawati Binti Kassim

Berita seorang wanita Islam Malaysia yang melangsungkan perkahwinan mengikut upacara agama Singh di India baru-baru ini amat membimbangkan.

Isu seumpama ini sangat perlu diperhalusi dan diteliti dengan baik. Ia tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan isu akidah umat Islam. Perlakuan dan tindakan yang dilarang syarak jika dilakukan dengan sengaja adalah sangat bahaya kesannya.

Justeru, persoalan tentang  akidah adalah sesuatu yang amat penting untuk difahami oleh setiap umat Islam. Ia menyentuh urat nadi kehidupan seorang muslim dan keseluruhan umat Islam. Ia juga akan memberi kesan yang besar dalam kehidupan seseorang di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda “ Seorang lelaki telah masuk syurga kerana seekor lalat dan seorang lelaki lain masuk neraka kerana seekor lalat.

Sahabat bertanya, “ Bagaimana boleh berlaku ya Rasulallah :

Baginda saw bersabda, “Dua orang lelaki telah melalui perkampungan satu kaum yang memiliki berhala. Setiap orang yang melalui berhala tidak akan dibenarkan lalu kecuali dengan melakukan korban untuk berhala berkenaan. Dua orang tadi ditahan lalu diminta kepada mereka supaya berkorban.

Berkata seorang dari mereka kami tidak memiliki sesuatu untuk dikorbankan. Lalu berkata penjaga berhala ” berkorbanlah walaupun seekor lalat”.

Lalu lelaki ini mengorbankan seekor lalat, lalu dia pun dibenarkan lalu. Lelaki ini dimasukkan ke neraka.

Seorang lelaki yang lain ia berkata, “aku tidak akan mengorbankan sesuatu selain kepada Allah, lalu mereka memancung kepalanya maka masuklah dia kedalam syurga.” (HR Imam Ahmad)

Seseorang yang melakukan korban selain untuk Allah telah melakukan syirik yang menyebabkan dicampakkan ke dalam neraka.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “Allah melaknat seseorang yang melakukan korban selain kepadaNya.”(Hadis Riwayat Muslim)

Berkorban atau menyembelih merupakan ibadah yang hanya boleh dibuat semata-mata kepada Allah SWT. Allah menciptakan kita untuk suatu tugas yang agung, iaitu hanya beribadah kepadaNya.

Begitu juga dalam perkahwinan, nikah bukanlah satu kontrak sosial yang hanya sekadar menyatukan dua insan dan keluarga. Nikah adalah suatu ibadah yang sangat mulia kerananya Allah dan Rasul melarang pernikahan dijadikan sebagai mainan.

‘’Tidaklah aku menciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepadaKu” (Adz-Dzariyaat :56)

Sementara orang yang kedua tetap mempertahankan tauhidnya sehingga dia dibunuh. Maka dia telah meninggal dunia dengan mulia iaitu mempertahankan agamanya dan dimasukkan ke syurga.

Hadis ini menjelaskan tentang kepentingan menjaga akidah dan tauhid dan menghindari perbuatan yang boleh membawa kepada syirik kepada Allah.

Yakinlah musuh-musuh Allah termasuk syaitan durjana akan terus menggoda manusia supaya kita mensyirikkan Allah, keluar dari agama yang benar ini dan jauh dari kebenaran yang sebenarnya.

Bersama kita perhalusi setiap tindakan kita, adakah kita benar-benar melakukan sesuatu yang diredhai Allah yang membawa kebaikan buat diri, keluarga dan umat Islam?

Bimbang sangat kerana menurut kata hati dan nafsu kita terjatuh dalam kehinaan yang sangat merugikan di dunia dan di akhirat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat