Kali ini, Timbalan Menteri Perpaduan (MCA) pula bersuara dalam isu restoran bertemakan komunis dengan mengatakan bahawa isu ini tidak perlu dikecoh-kecohkan.
Kenyataan beliau ini tidak mencerminkan posisi seorang timbalan menteri, apatah lagi yang memegang portfolio perpaduan. Tidakkah beliau sedar yang masalah ideologi komunis inilah yang telah memecahbelahkan perpaduan kita di Malaysia selama berdekad-dekad lamanya?
Masih segar dalam ingatan orang-orang Melayu bagaimana nenek moyang mereka diseksa, diperkosa, disembelih dan dipaksa untuk murtad oleh komunis. Kita tidak lupa juga bagaimana komunis juga antara dalang utama dalam rusuhan kaum 13 Mei 1969 dahulu.
Malah, di manakah maruah prajurit kita yang telah berkorban nyawa melawan komunis dahulu apabila pemimpin tinggi kerajaan sendiri yang berkata sedemikian rupa? Saya cukup bersimpati dengan nasib veteran-veteran tentera kita yang banyak berkorban tetapi pemimpin negara sendiri melecehkan sahaja mengenai isu komunis ini.
Saya sudah beri amaran dari awal lagi, bahawa beliau ini memang tidak patut dilantik sebagai Timbalan Menteri Perpaduan kerana memang sudah banyak isu dan kontroversi beliau mengenai Melayu dan Islam yang pernah saya ulas dengan panjang lebar dahulu.
Eloklah parti-parti Melayu terutamanya UMNO buka mulut mengenai keceluparan MCA pula. Jangan hanya berani dan garang sesama parti Melayu sahaja. MCA sudah tahap cacing naik ke mata, yang patut kita rasa tercabar. Janganlah hanya rasa tercabar dengan perebutan jawatan sahaja.
Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
6 Januari 2021