Jadikan Al-Quran Sebagai Peringatan

Oleh : Kaslawati Binti Kassim

Masa adalah kehidupan yang sangat aneh perjalanannya. Lihat sahaja pada jam kita masa akan terus bergerak saat demi saat tanpa pernah akan berhenti.

Masa yang berlalu umpama aliran air yang mengalir deras, umpama deruan ombak yang memukul pantai, ia tak akan kembali lagi walau kita berusaha berlari mengejarnya sepantas kilat.

Masa yang kita miliki hanyalah masa lalu yang telah tinggal sebagai sejarah, masa kini dan masa akan datang yang kita tidak ada ilmu yang jelas tentangnya. Masa kini adalah ruang dan peluang yang masih Allah anugerahkan kepada kita untuk mengisinya dengan baik. Ini antara tazkirah yang selalu diulang-ulang oleh suami saya buat saya dan anak-anak dalam sesi tazkirah pagi kami.

Antara yang boleh kita jadikan bekalan bersama adalah dalam mengisi masa yang berbaki adalah dengan mengambil pengajaran dari ayat-ayat al-quran yang sememangnya terlalu banyak pengajarannya kepada manusia yang mahu mengambil pengajaran.

Beberapa potongan ayat dari Surah Al-Furqan boleh kita jadikan peringatan bersama untuk kita lahirkan diri, keluarga dan masyarakat sebagai ‘ibadurrahman seperti mana di sebut oleh Allah SWT dalam ayat 63-75 surah ini. Antaranya adalah :

1. Tawadhu’ dan Bijaksana
“Dan hamba-hamba Allah Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang mengandungi keselamatan.” (Surah Al-Furqan :63)

Sifat ‘Ibadurrahman yang pertama adalah bersikap tawadhu’. Hidup di bumi ciptaan Allah dengan merasakan keagungan dan kebesaranNya, menjauhkan diri dari sombong dan takabbur.

Juga sentiasa lemah lembut dan bijaksana berurusan dengan manusia walaupun mereka itu jahil dan rendah akhlaknya.

2. Qiamullail

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka. (Surah Al-Furqan : 64)

Sifat’ Ibadurrahman yang kedua adalah suka dan sentiasa berusaha untuk berqiamullail.
Mereka yang mempunyai keazaman yang kuat untuk berqiamullail semata-mata untuk bermunajat, mendekatkan diri, rohani dan emosi kepada Allah.

Keampunan dan rahmat Allah sahaja menjadi harapan dalam kehidupannya.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Lazimkan dirimu melaksanakan ibadah qiamullail, kerana sesungguhnya berqiamullai adalah amalan biasa dan tradisi yang telah dihidupkan oleh orang-orang yang terdahulu daripada kamu”(Hadis Riwayat Tirmizi).

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya bangun dan bermunajat pada waktu malam adalah amalan untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT, kerana waktu itu Allah bersama hambaNya untuk mendengar rintihan setiap hamba.”

Bahkan Allah SWT berkata “Barangsiapa yang meminta kepadaKu akan Kuperkenankan, barangsiapa yang memohon kepadaKu akan Aku makbulkan permintaannnya dan barangsiapa yang mengharapkan pengampunan dariKu akan aku ampunkan dosa-dosanya”

Oleh kerana amalan qiamullail itu besar manfaatnya, maka kekuatan dari dalam, jiwa perlu lebih kental untuk bangkit di malam hari bagi melaksanakan ibadah qiamullail yang merupakan nilai ketaatan kepada Allah SWT.

3. Berlindung dari neraka
Allah SWT berfirman, “Dan yang berkata, Ya Tuhan Kami, jauhkan azab neraka dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebiasaan yang kekal. (Surah Al-Furqan : 65)

Seorang yang bersifat ‘Ibadurrahman akan sentiasa berusaha dan berdoa untuk berlindung kepada Allah agar dijauhi dari perbuatan yang boleh menjerumuskannya ke dalam api neraka.

Andai kata mereka telah melakukan satu dosa maka mereka akan bersegera meminta keampunan kepada Allah agar tidak mengulanginya. Mereka juga menyesali perbuatan itu dan yang mempunyai keazaman yang kuat untuk tidak melakukannya lagi.

4. Bersederhana dalam membelanjakan harta
Allah SWT berfirman, “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka, mereka tidak berlebihan dan tidak pula kedekut dan adalah perbelanjaan itu pada tahap sederhana. (Surah Al-Furqan : 67)

Seorang ‘Ibadurrahman akan sentiasa berusaha dan selalu bersederhana dalam membelanjakann harta. Tidak berlebihan dan tidak pula kedekut.

Mereka akan berusaha untuk memperoleh harta dengan cara yang halal dan dibelanjakan harta sebahagiannya untuk sedekah, zakat dan wakaf kerana Allah.

Mereka juga tidak boros berbelanja dan sentiasa berasa cukup dari rezeki kurniaan Allah SWT kepada mereka.

5. Tidak melakukan perkara syirik, membunuh dan berzina.

“Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain selain Allah dan tidak membunuh nyawa yang diharamkan Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang dibenarkan dan tidak berzina, barang siapa melakukan itu semua, nescaya dia mendapat hukuman yang berat.” (Surah Al-Furqan : 68)

Seorang hamba Allah taat sentiasa berusaha untuk menjauhi maksiat terutama dosa-dosa besar. Setiap muslim wajib menjauhi dosa-dosa paling besar iaitu syirik, membunuh(tanpa hak) dan zina.

Syirik adalah kezaliman paling besar bagi manusia. Perbuatan syirik adalah perbuatan yang menafikan kekuasaan Allah SWT, syirik menghilangkan keimanan seseorang manusia.

Membunuh pula merupakan tindakan yang boleh membawa permusuhan sesama manusia. Perbuatan membunuh adalah diharamkan dalam Islam.

Berzina adalah perbuatan yang keji dan bertentangan dengan pernikahan yang diharuskan Islam dalam hubungan lelaki dan wanita.

6. Menjauhi perkara-perkara haram atau sia-sia dan menjaga kehormatan diri.

“Dan orang-orang yang tidak memberikan kesaksian palsu, apabila mereka bertemu dengan orang yang mengerjakan perbuatan yang sia-sia (tidak berfaedah), mereka berlalu dengan menjaga kehormatan dirinya.”(Surah al-Furqan : 72)

Seorang ‘Ibadurrahman perlu berusaha bersungguh-sungguh menghindari perkara-perkara yang haram, menjaga kesucian dirinya dan menjauhkan diri dari melakukan perkara yang sia-sia.

Mereka juga berusaha memastikan kehidupan singkat yang diberikan oleh Allah SWT digunakan sepenuhnya untuk menjadi hamba yang beriman. Tidak sesekali memberi kesaksian yang dusta dan palsu.

7. Mudah menerima
“Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang tuli dan buta.” (Surah Al-Furqan : 73)

Kita berusahalah untuk menjadi mereka yang senang menerima nasihat, pandangan dan peringatan. Seorang ‘Ibadurrahman hatinya tidak akan berpaling dari kebenaran sebagaiman seseorang yang tuli dan buta dari kebenaran Islam malah mudah menerima kebaikan.

8. Meminta diberikan pasangan dan keturunan yang baik dan menyejukkan hati.

“Dan orang-orang yang berkata, Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penenang hati (kami) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.
Mereka sentiasa berdoalah dan bermohon kepada Allah agar dikurniakan pasangan yang soleh dan solehah, menyejukkan dan mententeramkan hati mereka, diikurniakan dengan zuriat keturunan yang baik dan bermanfaat kepada agama dan Seterus menjadi pemimpin yang baik.

Sangat beruntunglah bagi mereka yang sentiasa menjadikan ayat-ayat Allah ini sebagai bekalan dan pedoman dalam kehidupan. Inilah sifat-sifat hamba-hamba Allah yang begitu mulia. Mereka ini dijanjikan Allah dengan balasan yang sebaik-baiknya yang akan disambut oleh barisan para malaikat di hadapan pintu syurga dengan ucapan “salam.”

Sebagaimana firmanNya :
“Mereka itulah orang yang dianugerahkan dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya. (Surah Al-Furqan : 75)

Moga Allah bantu dan pandu kita semua dalam mencari redhaNya.

Wallahua’lam.

Rujukan : Tafsir Ibnu Kathir : Surah Al-Furqan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat