Perlaksanaan Dasar Menghalang Tanah Sawah Dibangun Projek Perumahan dan Industri Adalah Langkah Tepat

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan hasrat beliau untuk melaksanakan kembali satu dasar bagi mengekalkan tanah sawah sedia ada di negeri ini daripada dibangunkan dengan projek perumahan dan industri.

Kenyataan ini dilihat sangat relevan dan tahniah kepada YB Menteri Besar atas keprihatinan terhadap isu yang seolah-olah tiada penghujung ini. Perlaksanaan dasar ini kelak merupakan satu langkah bijak walaupun mungkin tidak popular. Hal ini kerana pemeliharaan tanah sawah amat penting dalam memastikan pengeluaran padi bagi negeri Kedah dapat dikekalkan bahkan boleh ditingkatkan dari masa ke masa. Pada masa sekarang, Kawasan Muda yang meliputi negeri Kedah dan Perlis menyumbangkan sebanyak 43% kepada pengeluaran padi negara.

Tanpa usaha dan dasar yang kukuh, tidak mustahil peratusan ini akan berkurang daripada tahun ke tahun. Pengeluaran padi amat penting kerana ianya merupakan makanan ruji di negara ini dan kadar semasa pengeluaran padi  masih belum mencapai sasaran 90% daripada keperluan di negara ini. Senario ini membimbangkan jika dilihat daripada sudut status sekuriti makanan di Malaysia. Justeru langkah ini dilihat tepat dan akan memberikan jaminan dan kebaikan dalam tempoh jangka masa panjang.

Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa isu yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan negeri bagi memastikan perlaksanaan dasar ini berjaya. Pemeliharaan tanah sawah adalah satu faktor terpenting namun tanpa turut memberikan fokus kepada masalah-masalah lain yang berkaitan, dasar ini mungkin gagal mencapai matlamatnya.

Cabaran utama ialah menarik minat anak muda untuk mengusahakan padi. Penglibatan generasi muda dalam industri padi amat penting bagi memastikan kelangsungan industri padi. Bahkan generasi muda dilihat dapat mengintergasi antara pertanian secara tradisional dan moden. Hal ini amat penting dalam proses transformasi pertanian yang pastinya dapat meningkatkan hasil, mengurangkan kerugian, dan sekaligus meminimakan kos.

Isu bagaimana memaksimakan keuntungan merupakan perkara pertama yang perlu diberikan perhatian jika industri penanaman padi ini ingin dilestarikan. Pelbagai iniasatif telah dijalankan seperti estet padi atau program penanaman padi berskala besar haruslah diperkasakan kerana ianya merupakan salah satu kaedah yang strategik untuk meningkatkan hasil padi dan keuntungan kepada para pesawah.  Kerajaan negeri dicadangkan mengambil alih petak sawah yang terbiar dan menyediakan imbuhan khas kepada para pemuda yang berminat untuk mengusahakannya.

Justeru, diharapkan kerajaan negeri terus konsisten dalam perlaksanaan dasar menghalang tanah sawah dibangun projek perumahan dan industri disamping memperkasakan program penanaman padi berskala besar yang baru sahaja dilancarkan. Kedua-dua inisiatif ini akan memastikan kelestarian industri padi dan status negeri ini sebagai jelapang padi negara. Yang lebih penting, usaha ini perlu dilaksanakan segera bagi memastikan sasaran peratus pengeluaran padi negara dapat dicapai sekaligus menjadikan sekuriti makanan negara berada pada status yang lebih terjamin.

Adli Azimi bin Abdul Rahman

Yang Dipertua ISMA Alor Setar

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat