Israk Mikraj : Ibrah Untuk Para Dai’e

IBRAH ISRAK MIKRAJ

Nota:

Cara membaca artikel ini: Nabi Muhammad SallalLahu alaihi wa sallam akan ditulis sebagai Rasulullah. Setiap kali kita sampai pada perkataan Rasulullah, sama-samalah kita berselawat ke atas Baginda SallalLahu alaihi wa sallam.

TAPISAN ALLAH

Baru-baru ini kita melihat banyak di dada akhbar menceritakan tentang seorang lelaki bernama Muhammad Sajjad menyatakan secara terbuka ingin keluar dari Islam.

Walaupun kita tahu tindakannya itu tidak lain sekadar ingin mendapatkan publisiti untuk jualan produknya, kita dapat lihat bagaimana nilai agama itu disisinya kelihatan hanya sebuah mainan. Diambil ketika ingin meraih untung dibuang ketika sudah tak perlu.

Nilai agama dipermainkan. Tindakannya dilakukan  secara terbuka. Berbeza jika kita melihat contoh tauladan para sahabat mempertahankan akidah. Diikat kukuh sehingga nyawa menjadi taruhan. Lafaz Ahadun Ahad diucap berulang kali sebagai motivasi diri melawan sengsara dan kesakitan seksaan supaya tidak mudah-mudah melepaskan agama Islam.

Kita yang memerlukan agama. Agama tidak sekali-kali memerlukan kita.

Tidak akan sama rasa sayangnya orang beriman pada akidah ini dengan orang yang bersama akidah ini secara ikut-ikutan. Secara tunggang-tunggangan.

Ketika Rasulullah menceritakan pengalaman perjalanan Israk dan Mikraj, Rasulullah ditertawakan oleh kafir Quraisy dan terdapat sebilangan yang sebelum ini Muslim membuat keputusan meninggalkan akidahnya kerana merasa tidak logiknya perjalanan tersebut.

Tapisan Allah berlaku pada peristiwa besar Israk dan mikraj. Jika kita lihat masa berlakunya peristiwa ini ketika di awal agama Islam baru mula membuka tapak. Benihnya baru disemai pada pokok. Akarnya masih tidak panjang dan kukuh lagi. Peristiwa ini berlaku sebelum hijrah.

Kita memerlukan pengikut yang banyak supaya kuat. Bukankah lebih utama pada ketika ini tidak berlaku peristiwa israk dan mikraj supaya tidak ramai yang keluar Islam? Bukankah pokok tadi kita letakkannya di kawasan yang teduh dari hujan lebat supaya tidak rosak? Hebatnya Allah. Maha mengetahui. Ujian hebat ini hanya yang berkualiti pada Islam sahaja yang mampu bertahan. Allah tidak memerlukan jumlah pengikut yang ramai untuk membawa Agama ini. Kualiti bukan pada kuantiti.

HANYA SATU AYAT BERKAITAN ISRAK

Di dalam surah al-Israk hanya ayat yang pertama sahaja menceritakan berkaitan peristiwa Israk. Hebatnya peristiwa ini sehinggakan satu surah dari ayat 2 hingga ayat 111 dinamakan surah al-Israk sempena ayat pertama tadi.

Walaupun ada juga mufassir seperti Imam Tabari menyatakan pada ayat 60 juga berkaitan peristiwa israk, tetapi ayatnya lebih bersifat umum.

Di dalam ayat pertama tersebut, Allah memulakan ayat dengan mensucikan diriNya dari tuduhan kafir Quraisy berkenaan tuduhan ke atas Nabi bahawa baginda seorang penipu. Maha suci Allah mengutuskan seorang Rasul yang menipu.

Setelah Allah mensucikan diriNya dari tohmahan kafir Quraisy, Allah juga menyokong pengalaman Rasulullah dengan merekodkannya di dalam al-Quran.

Dalam kita melakukan gerak kerja dakwah untuk amal soleh kita, kekuatan sebenar yang kita sangat perlukan ialah kebersamaan, bantuan dan sokongan dari Allah.

TEKNOLOGI MANUSIA VS TEKNOLOGI LANGIT

Rasulullah menceritakan baginda di bawa berjalan menaiki buraq yang saiznya antara seekor kuda dan keldai dari masjidil haram ke masjidil aqsa dalam satu malam.

Pada zaman itu, perjalanan sejauh lebih kurang 1250km ini akan mengambil masa 1 bulan 10 hari untuk sampai.

Sebagai langkah untuk mengejek-ejek Rasulullah, kafir Quraisy bertanyakan soalan apa yang terdapat dalam perjalanan tersebut dan rupa fizikal masjid al-Aqsa.

Sekali lagi mereka kalah apabila Rasulullah berjaya menjawab semua soalan tersebut kerana baginda dipertayangkan oleh Allah semula apa yang ada di sana.

Segalanya ini tidak logik pada akal manusia pada ketika itu kerana teknologi manusia ketika itu belum sampai ke tahap itu lagi. Tetapi sekiranya berlaku sekarang, ianya menjadi logik kerana teknologi manusia kini sudah sampai ke tahap tersebut.

Sebagai contoh Rasulullah menaiki Buraq perjalanan lebih 1000 km dalam satu malam. Teknologi masa kini mampu untuk mencapainya.

Rasulullah dipertontonkan semula apa yang ada di masjid al-Aqsa. Teknologi kini mampu untuk mencapainya dengan adanya cctv, intenet dan sebagainya.

Kerana itu tidak pelik segala mukjizat yang Allah kurniakan kepada Rasulullah. Ianya menjadi pelik dan tidak logik kerana hanya disebabkan keterbatasan manusia sahaja.

Tidak pelik jika nanti setelah kematian di dunia kita mendapat tubuh baru, manusia sepanjang zaman dapat berkumpul di satu tempat yang sama, seringan-ringan azab neraka dipakaikan capal neraka menggelegak hingga ke otak. Mulut terkunci tangan berbicara, manusia berjalan menggunakan muka dan banyak lagi keadaan yang bunyinya seperti tidak logik kerana itu semua teknologi dari langit yang belum mampu kita capai lagi.

Sekaligus mendidik kita untuk beriman pada wahyu tanpa ragu. Tanpa prejudis. Kami dengar dan kami patuh.

Peringatan juga. Untuk mengenal wahyu adalah dengan ilmu yang benar. Rujukannya al-Quran dan as-Sunnah. Kunci utama dalam tajuk kecil ini boleh juga disalahgunakan oleh pengasas-pengasas ajaran sesat untuk menundukkan pengikut yang naif demi keuntungan dunia mereka.

SUNNATULLAH PERJUANGAN MENCAPAI MATLAMAT DENGAN USAHA

Perkataan Asra (أسرى) digunakan dalam surah al-Israk sebagai tanda Allah yang memperjalankan Rasulullah ke masjidil Aqsa. Bukan berjalan sendiri bahkan disediakan pengangkutan VIP (Buraq) untuk ke sana.

Sedangkan ketika itu Rasulullah belum lagi mendapat ancaman bunuh dari kafir Quraisy.

Berbeza dengan peristiwa hijrah, Allah memerintahkan penghijrahan tersebut tanpa menyediakan pengangkutan untuk Rasulullah ke Madinah.

Sedangkan dalam peristiwa hijrah, Rasulullah mendapat ancaman untuk dibunuh.

Rasulullah perlu pergi sendiri membawa teman Abu bakar. Mengupah penunjuk jalan. Membawa bekalan makanan sendiri. Kenderaan sendiri.

Di sini kita boleh belajar bahawa untuk mencapai matlamat perjuangan secara sifir sunnatullahnya kita mesti dan wajib berusaha untuk mencapainya.

Hendak anak cemerlang peperiksaan, usahakan pembelajaran anak. Adakan kelas tuisyen, disiplinkan anak dan sebagainya. Bukan dengan pergi ambil air jampi dari mana-mana Ustaz.

Hendak selamat rumah dari kebakaran. Diusahakan membuat besi tingkap yang ada ruang keluar kecemasan. Disimpan pemadam api kebakaran dan sebagainya. Bukan dengan menggantung tasbih koka dan frame gambar capal maka terselamat dari kebakaran.

Begitu jugalah perjalanan dakwah kita semua untuk mencapai matlamatnya. Banyak usaha dan strategi yang diperlukan. Perlu dikorbankan masa, harta bahkan juga nyawa untuk sampai ke matlamatnya.

Berbeza peristiwa Israk dan mikraj ini dengan peristiwa hijrah. Ianya sebagai hiburan buat Rasulullah kerana menghadapi tahun-tahun kesedihan.

TAHUN DUKACITA

Lumrah kehidupan kehidupan di dunia ini kita akan menghadapi peristiwa yang menyedihkan. Begitu juga Rasulullah.

Ujian kehilangan orang kesayangan amatlah berat tanggungannya. Kematian bapa saudara tercinta. Membesarnya baginda bersama. Ketika diancam musuh, diberi keselamatan dan rasa aman.

Disusuli pula dengan kematian isteri tercinta. Isteri yang menyokong dan mendokong dakwah Rasulullah. Sentiasa di sisi Rasulullah ketika senang dan susah.

Dihalau dan cedera ketika berdakwah ke Thaif. Kecederaan emosi yang tinggi bila kita datang hendak memberi kebaikan kepada sesorang, tetapi telah ditolak mentah-mentah. Dikeji dan dihina pula. Sedih dan pilu.

Allah ingin mengajar kita semua bahawa jangan berpanjangan bersedih. Justeru Allah menggembirakan Rasulullah dengan peristiwa Israk Mikraj. Bertemu Allah secara langsung. Apa lagi yang lebih menggembirakan orang beriman?

Imam Ibnul Qayyim rahimahulLah berkata: “Perkataan sedih dalam al-Quran hanya dinyatakan pada ayat yang menyeru supaya tidak bersedih. Sedih hanya akan melemahkan hati dan melahirkan rasa putus asa untuk terus maju”.

Jika kita lihat doa-doa Rasulullah banyak yang memohon dijauhi dari kesedihan.

Kesedihan membuka ruang dan peluang kepada Syaitan untuk melemahkan jiwa manusia seterusnya membawa kita keluar dari landasan yang sepatutnya.

Bersama kita berdoa semoga kita berjaya keluar dari zon sedih dan diberikan kegembiraan oleh Allah.

KENAPA MASJIDIL AQSA

Boleh sahaja Rasulullah dimikrajkan terus dari Masjidil Haram. Kenapa Masjidil Aqsa? Sama-sama kita renung dan fikirkan.

Solat berjemaah di Masjidil aqsa bersamaan dengan 500 kali pahala. Kiblat pertama Umat Islam sebelum masjdil Haram.

Kedudukan Masjidil Aqsa ditentukan oleh Allah sendiri yang kemudiannya dibina oleh para Nabi. Ramainya para Nabi yang pernah bersolat di situ termasuk Rasulullah sendiri.

Perihal pentingnya masjidil Aqsa ini simbol ianya milik Umat Islam dan menjadi kewajipan kita mendapatkannya semula dan memeliharanya.

Pembebasan bumi Palestin dari jajahan Zionis Israel bukanlah isu politik arab. Bukanlah isu bangsa yang sedang berperang. Ianya isu sejagat Umat Islam. Al-Aqsa milik umat Islam.

Jika tidak menyumbang secara fizikal, kita berikan sokongan moral pada saudara Islam kita di sana yang sedang berjuang. Sumbangan wang bagi membina sekolah dan makanan pada mereka. Jangan hanya melihat dan tidak merasa kebersamaan bersama al-Aqsa.

TINGGI KE LANGIT…MERENDAH KE KAKI BUMI

Mikraj bermaksud tangga ke langit. Rasulullah dibawa ke atas untuk bertemu Allah secara langsung. Jauhnya Rasulullah meninggalkan kita.

Jika kita lihat dari sudut pandang mata Rasulullah yang bertolak dari bumi ke langit. Semakin lama semakin kecil pandangan ke bumi. Semakin dekat ke langit, semakin kecil kelihatannya bumi.

Begitulah realiti sebenarnya. Nilai kehidupan kita di dunia tiada taranya dengan kehidupan abadi di akhirat kelak.

Isu-isu yang mengelilingi Rasulullah terlihat sangat kecil. Mendidik hati Rasulullah mudah memaafkan kesalahan manusia. Tidak meletakkan langsung dunia di dalam hati. Tidak rasa penat lelah dalam menyampaikan dakwah kerana Rasulullah telah melihat sesuatu yang lebih utama dan lebih besar.

Jauh Rasulullah meninggalkan bumi menuju ke langit ingin bertemu Allah. Berbicara secara langsung. Menerima hadiah solat. Hilang sedih dan pilu.

Hadiah yang sangat bernilai. Hadiah yang menghubungkan seorang hamba yang rendah dilantai bumi kepada Tuhannya yang tinggi di atas langit. Hubungan yang sangat erat ketika hambaNya merendahkan kepala pada lantai tempat kaki memijak meminta dan mengadu pada Pencipta yang tinggi di atas.

Oleh,

Ustaz Khairul Syazwan bin Yahaya

Aktivis ISMA Kemaman

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat