Minda Mahu Menang Dan Pewarisan

1. Alhamdulillah berlangsung semalam dengan sempurna Mesyuarat Agung Perwakilan kali ke 17 Ikatan Muslimin Malaysia (Isma). Banyak lonjakan baru yang diisytiharkan oleh Amir Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman dan Presiden Isma, Tuan Haji Aminuddin Yahaya semalam dan ianya menjadi penanda aras kepada satu sejarah baru dalam Isma dan diharapkan juga ia mewarnai sejarah negara, nusantara dan antarabangsa.

2. Setelah lebih lima tahun merangka strategi jangka panjang bagi Isma. Dengan puluhan bengkel dan mesyuarat di dalam dan luar negara yang amat mencabar tahap intelektual dan stamina berfikir, akhirnya pada awal 2021 siap juga perancangan tersebut. Kami namakan Orde Baru Islam 2121 (OBI 2121), dengan pelancaran fasa 20 tahun pertamanya yang kami namakan Malaysia Unggul 2040 (MU2040).

3. Ia menuntut kemahiran baru, bentuk pengurusan organisasi yang baru, hubungan strategik dengan badan dalam dan luar negara yang kuat, keupayaan membaca masa depan, keupayaan memintas perancangan musuh, agensi-agensi baru yang menangani belasan bidang baru dan lain-lain lagi.

4. Kepada pimpinan Isma yang baru terlantik samada di peringkat pusat atau cawangan, saya amat mengharapkan agar tahun 2021 ini digunakan sepenuhnya semaksima mungkin untuk memahami perancangan yang baru ini. Dianggarkan hampir 80% kemahiran dan perubahan sikap baru perlu diusahakan untuk menjayakan perancangan ini.

5. Sebagai permulannya kita perlu mengubah minda untuk menumpukan fikiran dan usaha menyempurnakan tuntutan Allah dalam perjuangan; iaitu bukan sekadar mencari pahala semata-mata, tetapi juga berusaha sedaya mungkin untuk menang. Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ * تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ * يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ * وَأُخْرَى تُحِبُّونَهَا نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ وَبَشِّرِ
الْمُؤْمِنِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar.
Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.”
(As-Soff 10-13)

6. Kita perlu menjadikan apa yang Allah sebut
نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ
“pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya)”, sebagai salah satu matlamat. Dan itu adalah matlamat yang menyempurnakan matlamat inginkan syurga dan keampunan Allah. Ramai pendakwah hari ini berusaha kuat untuk dapat pahala tetapi tidak berusaha sekuat mana untuk menang. Dari situ banyak amal kebajikan dan usaha dakwah berlaku tetapi kuasa mencatur segala perkara masih lagi di tangan musuh Islam.

7. Untuk menang itu, kita perlu mengambil asbab musabbab yang betul sebaiknya berdasarkan sunnah alam yang Allah tetapkan. Memahami asbab musabbab dan sunnah alam itu memerlukan penelitian yang mendalam dan kesediaan untuk merubah rutin pengurusan dakwah sedia ada. Kemenangan hanya akan datang sesudah itu.

Imam Syahid Hasan al-Banna berkata:

لا تصادموا نواميس الكون فإنها غلابة، ولكن غالبوها واستخدموها وحولوا تيارها واستعينوا ببعضها علي بعض، وترقبوا ساعة النصر وما هي منكم ببعيد.

“Janganlah kamu bertembung dengan sunnah alam (peraturan alam) kerana ia tidak mampu dikalahkan. Sebaliknya jinakkanlah ia dan gunakan ia serta pandu arah tujunya. Gunakanlah sebahagiannya ke atas sebahagian yang lain. Kemudian tunggulah saat kemenangan, dan ianya tidak lagi jauh dari kamu.”

8. Perancangan baru OBI 2121 adalah perancangan jangka panjang yang tidak akan selesai di generasi ini. Umur pimpinan sedia ada tidak akan melebihi umur yang menjadi umur umat Nabi Muhammad saw. Dari situ pewarisan adalah suatu yang perlu diutamakan sentiasa dalam setiap agensi, biro-biro dan jawatankuasa kerja. Kita mesti mewariskan pewarisan dakwah ini secara bertulis dalam satu dokumen yang lengkap dan difahami. Dan mewariskan juga budaya yang kukuh dalam segenap bidang kerja agensi dan biro.

9. Jika dua perkara ini gagal kita lakukan, kita akan mengulangi kesimpulan yang disimpulkan oleh Ibnu Khaldun bahawa satu kerajaan atau jemaah akan berubah halatujunya selepas tiga generasinya. Tiga generasi mungkin 50 tahun. Isma akan berusia 25 tahun di tahun 2022. Kesan kelalaian pimpinan hari ini akan terlihat kesannya lagi 25 tahun dan kita berharap ia tidak berlaku begitu.

10. Akhirnya, kepada Allah kita berserah dari awal kita merancang, di pertengahan jalan dalam usaha-usaha kita dan di akhirnya ketika bertemu Allah.

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”
(At-Taubah: 105)

Allahul Mustaan.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden ISMA

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat