1. Ketika Rasulullah saw diangkat menjadi Nabi dan Rasul, Allah menurunkan kepada Baginda saw lima ayat pertama dari surah al-Alaq. Ayat-ayat itu antara lain mempertegaskan isu sumber dalam aqidah seorang muslim. Sumber penciptaan manusia dan alam keseluruhannya adalah dari Allah. Sumber ilmu juga adalah dari Allah. Manusia adalah makhluk yang tidak tahu, lalu menjadi tahu dengan izin Allah semata-mata.
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (Al-Alaq: 1-5)
2. Sambutan Nuzul Quran yang datang sekali lagi pada hari ini, mengingatkan kita semua tentang al-Quran yang merupakan sumber dalam hidup kita seorang muslim. Ia bukan setakat kitab yang dibaca untuk meraih ganjaran dan pahala tilawah, tetapi sebaliknya lebih dari itu ia adalah rujukan di dalam hidup; segenap aktiviti kehidupan.
3. Manusia hidup di dunia bersilih ganti dari satu generasi ke satu generasi. Banyak perkara yang perlu diurus, termasuklah konflik sesama manusia. Manusia perlu satu formula atau teori atau kaedah untuk mengurus kehidupan. Tetapi apakah panduan untuk manusia mengurus dunia yang dari hari ke hari semakin kompleks dan rumit?
4. Selain Islam meletakkan akal sebagai pengukur kepada salah dan benar. Tetapi akal manusia amat terbatas kemampuannya. Dari situ kita melihat dunia sentiasa bertukar teori pengurusan hidup yang akhirnya menjebakkan dunia dalam simpulan masalah yang tidak boleh dirungkai. Dan oleh kerana akal manusia selalu kalah dengan nafsu, akhirnya kebenaran menjadi suatu yang abstrak; dinilai dengan rasa dan bukan dengan rasional. Lalu itu menjadikan kehidupan semakin tidak menentu dan huru hara.
5. Barat menolak wahyu sebagai rujukan dalam pengurusan kehidupan. Mereka menolak apa-apa yang datang dari Tuhan kerana terlalu kagum dengan kehebatan diri mereka sendiri. Mereka mencipta teori-teori berteraskan akal semata-mata. Lahirlah sistem demokrasi, lahirlah sistem kapitalis. Lahirlah juga sistem komunis, lahir falsafah liberalisme. Mereka membangunkan metodologi kajian dalam pelbagai bidang ilmu lalu menghasilkan produk-produk kehidupan yang pelbagai. Tiap satu menjerumuskan manusia dan dunia keseluruhannya kepada kemusnahan sebagaimana yang kita lihat pada hari ini. Untuk membetulkan keadaan, mereka memerah akal sekali lagi mencari teori-teori baru pula. Dan akhirnya dunia hanya berpindah dari satu masalah kepada masalah lain sahaja, tetapi tidak pernah merasai ketenangan dan kebahagiaan hidup. Hingga akhirnya manusia menganggap hidup yang musnah itulah kehidupan.
6. Dunia Islam membeli pemikiran Barat dan produk-produknya. Umat Islam tidak lagi mampu mengkaji al-Quran untuk menghasilkan sistem hidup berteraskan rujukan al-Quran. Berlalu satu fasa, mereka mengislamisasikan pemikiran dan produk itu agar tidak jauh sangat lari dari al-Quran. Tetapi islamisasi sistem dan produk Barat, tidak menjadikan ianya Islam sepenuhnya. Di dalam demokrasi masih ada kuasa manusia tanpa batas yang bercanggah dengan al-Quran. Di dalam kebebasan sistem kapitalis, masih ada perlampauan monopoli yang ditegah oleh al-Quran. Akhirnya seperti yang diduga, apa juga binaan yang dibina dari asas yang salah dan rapuh, walau pun dicantikkan ia tetap akan runtuh.
7. Sampai bilakah umat Islam akan terus mengambil pendekatan Islamisasi sistem Barat ini? Atau dengan erti kata lain, bilakah umat Islam akan kembali menjadikan al-Quran sebagai rujukan sepenuhnya dalam kehidupan? Samada rujukan di dalam kehidupan di level peribadi. Atau rujukan dalam kehidupan bernegara. Juga rujukan dalam urusan ekonomi, undang-undang, pendidikan, sosial dan sebagainya. Ia adalah proses yang sukar kerana ia perlu daripada manusia penyerahan akal mereka kepada wahyu sepenuhnya, dan seterusnya menggunakan akal di tahap maksima untuk menyingkap kehendak wahyu.
8.
Allah menyuruh kita agar ‘tafakkur’, ‘tadabbur’ dan ‘taaqqul’ terhadap apa yang terkandung di dalam al-Quran.
Tafakkur ialah berfikir. Tafakkur bertujuan untuk manusia mengetahui apa yang Allah kehendaki. Firman Allah:
كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ
“Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.” (Al-Baqarah: 219)
Allah juga menyuruh kita agar ‘tadabbur’ iaitu meneliti. Tadabbur bertujuan agar manusia mengetahui akibat dan implikasi jika tidak mengikut apa yang Allah kehendaki. Firman Allah:
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?” (Muhammad: 24)
Allah seterusnya menyuruh kita ‘taaqqul’ iaitu menjiwai. Taaqqul bertujuan agar manusia menjadikan ajaran al-Quran sebagai cara fikir mereka dan menjiwainya dengan sungguh-sungguh. Firman Allah:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
“Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.” (Yusuf: 2)
9. Meletakkan al-Quran sebagai rujukan dalam kehidupan mesti dimulakan dengan proses-proses di atas. Malangnya sebahagian umat Islam di Malaysia ini tidak mahu melepasi tahap tilawah. Kita memperbanyakkan teori-teori dan kaedah pengajaran pembacaan al-Quran. Kita mencantikkan al-Quran dengan pelbagai awan larat agar seronok dimiliki. Kemudian kita menggembangkan ilmu tarannum dan menghabiskan modal yang banyak untuk musabaqah. Habuan yang diperolehi oleh penuntut ilmu tafsir masih kecil dan tidak padan untuk melayakkannya berijtihad mencipta teori dan sistem berasaskan al-Quran. Sedangkan sebenarnya itulah tujuan utama al-Quran itu diturunkan.
10. Sempena kedatangan Nuzul Quran pada hari ini, saya menyeru seluruh umat Islam di Malaysia agar kembali memperlakukan al-Quran sebagaimana selayaknya ia diperlakukan. Moga kita tidak termasuk di dalam golongan yang diadukan oleh Rasulullah saw kepada Allah:
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
“Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”.” (Al-Furqan: 30).
Salam Nuzul Quran
Allahul Musta’an
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden ISMA