Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 64 tahun. Sepanjang kemerdekaan ini seharusnya mampu menyemai semangat patriotisme dalam diri rakyat. Setiap 31 Ogos pula kita akan menyambut Hari Kemerdekaan secara besar-besaran di Putrajaya.
Namun tahun ini sedikit berbeza, dengan keadaan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara sehingga mencatatkan kes sehingga 5 angka sehari menjadikan Malaysia terus dalam keadaan berjaga- jaga.
Oleh itu, sebarang aktiviti perkumpulan seperti dahulu tidak dapat dilakukan. Walau bagaimana pun, halangan sedemikian tidak melemahkan semangat patriotisme rakyat Malaysia untuk menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia dengan cara norma baharu.
Namun begitu sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan dengan mengadakan pelbagai program untuk memanfaatkan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia yang diraikan ini.
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) tidak terkecuali menyediakan pelbagai program menarik khusus untuk mewujudkan suasana kemerdekaan secara maya.
Tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri setiap lapisan masyarakat.
Antara aktiviti menarik yang dianjurkan oleh Biro Keluarga dan Masyarakat Isma BKM) adalah Pertandingan Pantun Merdeka Keluarga Kreatif yang bertujuan untuk mendedahkan kepada semua ahli keluarga tentang budaya pantun yang terkenal dalam kalangan masyarakat kita.
Selain itu juga, BKM turut menganjurkan pertandingan Masak Merdeka, iaitu menyediakan juadah bertemakan Jalur Gemilang.
Kelab Remaja Isma pula, telah menyediakan aktiviti untuk remaja bawah 18 tahun seperti Pertandingan Video Kreatif dan Pertandingan Poster Digital dengan tema Demi Negara yang menjanjikan ganjaran yang cukup lumayan kepada pemenangnya. Aktviti ini secara langsung dapat menyemai benih-benih patriotisme dalam diri anak remaja.
Di samping itu juga, terdapat Pertandingan Pidato Demi Negara yang diadakan untuk menaikkan martabat Bahasa Melayu dan bertujuan untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang petah untuk mengeluarkan idea.
Pemuda Isma juga tidak terlepas menganjurkan pelbagai program seperti Malam Munajat, Wacana Demi Negara, penyerahan Jalur Gemilang dan Virtual Run Merdeka.
Wanita Isma pula telah menganjurkan Pertandingan Video Puisi Merdeka dan Pertandingan Masak Merdeka iaitu menyediakan juadah bertemakan Jalur Gemilang.
Kemuncak kepada sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Ikatan Muslimin Malaysia telah menganjurkan Malam Penutup Kempen Kemerdekaan sempena Hari Malaysia 2021 secara atas talian, semalam. Pelbagai persembahan menarik yang telah diadakan seperti Sajak Merdeka, Pidato dan persembahan istimewa daripada Raja Syair Nusantara, Roslan Madun.
Menurut Pengarah Sekretariat Kempen Kemerdekaan Isma 2021, Asmadi Abdul Samad, harapan dan hasil daripada program ini adalah untuk melihat semangat cinta akan negara semakin kukuh dalam jiwa setiap masyarakat walaupun dalam keadaan pandemik dan seiring dengan kepercayaan kita kepada Tuhan yang menjadi tunjang Rukun Negara.
“Kami juga ingin mengajak para pemimpin masyarakat dan juga ahli-ahli politik baik dipihak kerajaan mahupun pembangkang Untuk kita sama-sama menjadi contoh dalam mengerjakan kebaikan dan membantu rakyat terutama dalam mengharungi tempoh sukar ini dan sentiasa meletakkan maqasid syariah sebagai kerangka utama dalam membuat apa juga pertimbangan dan keputusan.
“Pada masa yang sama memainkan peranan secara profesional dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi, kelompok atau parti,” katanya menutup tirai program.
Arishah bin Abdul Anis
Aktivis PEMBINA Johor Bahru