KENYATAAN MEDIA
Tukar Status Pemilikan Tanah dari Masjid Kepada Kuil Boleh Gugat Keharmonian Kaum, Isma Tuntut Penjelasan
1.Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mengambil berat tentang dakwaan bahawa status pemilikan tanah milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan dibina sebuah kuil.
2.Perkara ini merujuk kepada bantahan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Surau Taman Indah Baru kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, S Veerapan berkenaan cadangan dan usaha pembinaan kuil di tapak pembinaan masjid di kawasan itu seperti yang dilaporkan portal Samudera.com.
3.Isma menuntut penjelasan daripada JHEAINS tentang perkara ini, bagaimana status tanah rizab masjid boleh bertukar status seperti yang didakwa penduduk sekitar.
4.Jika benar status pemilikan tanah sudah bertukar dan diluluskan untuk pembinaan kuil, maka ada sesuatu yang pincang mungkin berlaku dalam hal ehwal pengurusan status pemilikan tanah ini.
5.Isma juga tidak mahu ada tangan-tangan ghaib secara senyap-senyap menggunakan kuasa politik dan jawatan dengan menukar status pemilikan tanah rizab masjid kepada pembinaan kuil.
6.Isma tidak melarang agama lain untuk membina rumah ibadat sendiri, tetapi kerajaan negeri tidak sepatutnya menggadaikan tanah rizab masjid, tetapi carilah tanah yang lain untuk membina kuil.
7.Perkara ini sepatutnya tidak boleh berlaku, kerana isu ini boleh menggugat keharmonian kaum di Malaysia.
8.Justeru itu, Isma menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat perkara ini, jika wujudnya sebarang salah laku yang melibatkan status pemilikan tanah yang ditukar secara senyap-senyap ini.
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden ISMA
21 September 2021