SEGAMAT, 10 Januari – Banjir yang melanda sebahagian Pahang dan Johor memuatkan Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) tampil untuk menggerakkan sukarelawan dari seluruh Malaysia untuk membantu meringankan beban mangsa banjir.
Naib Ketua Pemuda Isma, Soufi Anual berkata, sehingga kini, Pemuda Isma telah memperuntukkan sejumlah RM 20 ribu bagi melaksanakan misi bantuan banjir di Karak Pahang dan Segamat Johor selama dua hari, sabtu dan ahad lepas.
Beliau berkata, antara inisiatif dilaksanakan bagi membantu keperluan mangsa yang utama adalah program khidmat baik pulih pendawaian elektrik yang dilaksanakan oleh Komuniti Teknikal Islam Malaysia (Komtech) dan mencuci rumah mangsa banjir oleh para sukarelawan.
Secara purata, katanya, Komtech telah berada di lima lokasi berbeza dengan lima buah pasukan yang berupaya menyediakan khidmat memeriksa keseluruhan sistem pendawaian, memeriksa suis dan menukar soket kepada 600 buah rumah.
Manakala sukarelawan Pemuda Isma yang terdiri daripada golongan belia dan pelajar pengajian tinggi, fokus membantu membersihkan rumah mangsa banjir
“Setakat hari ini, 200 sukarelawan turut serta di Kg. Tok Muda Karak dan Kg Spang Loi, Segamat, Johor untuk kerja pembersihan kawasan banjir.
“Kita banyak fokus kepada pembersihan dan pemeriksaan pendawaian elektrik sebab itu keperluan yang paling utama buat mangsa banjir. Kita tak sampai hati nak lihat warga emas bersihkan rumah sendirian,” katanya.
Sebelum itu Pemuda Isma turut menyalurkan bantuan berupa dua buah lori tangki air berkapasiti 40 ribu liter ke Raub Pahang yang menelan belanja RM 40 ribu.
Pemuda Isma juga telah membantu mangsa banjir di Shah Alam, Dengkil, Raub, Labohan Dagang dan lain-lain lagi.
“Pemuda Isma menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat seperti Yayasan Ikhlas, Yayasan Maghfirah, SuChi Rahmah Initiatives, Aspire Institute termasuk sukarelawan yang bersemangat hadir membantu dan menunjukkan ramai rakyat yang prihatin ingin turut serta dalam misi banjir kali ini,” katanya lagi.