Tuntutan-Tuntutan PEMBELA Kepada Kepimpinan Negara

Alhamdulillah, semalam (iaitu pada 8 Januari 2022 yang lalu) PEMBELA dengan kerjasama rakan-rakan strategik kita terutamanya Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) sebagai pakar rujuk, telah secara julung-julung kalinya menganjurkan Konvensyen Tanah Melayu bagi membincangkan solusi dan oleh itu tuntutan-tuntutan kepada kerajaan.
Hasil dari Konvensyen Tanah Melayu 2022 tersebut, kami telah menggariskan tuntutan-tuntutan berikut kepada pihak kerajaan:

1. Menubuhkan satu 𝗦𝗨𝗥𝗨𝗛𝗔𝗡𝗝𝗔𝗬𝗔 𝗗𝗜𝗥𝗔𝗝𝗔 yang terdiri daripada pakar undang-undang dan ekonomi tanah bagi tujuan menyelamat dan melindungi Tanah Rizab Melayu.

2. Membentuk 𝗣𝗔𝗦𝗨𝗞𝗔𝗡 𝗕𝗔𝗡𝗞 𝗗𝗔𝗧𝗔 untuk menyiasat punca-punca dan data-data sebenar Tanah Rizab Melayu telah diambil balik tanpa diganti, saiz yang masih ada, atau tergadai secara tidak wajar atau dikuasai pihak yang tidak berhak atau tidak wajar memilikkinya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

3. Mewujudkan satu 𝗠𝗘𝗞𝗔𝗡𝗜𝗦𝗠𝗔 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗦𝗘𝗦𝗨𝗔𝗜 untuk menggantikan kembali Tanah Rizab Melayu yang sudah hilang dan hanya tinggal sekitar 12% sahaja supaya diganti balik dengan nilaian yang sama atau lebih tinggi bagi mengembalikan semula hak orang-orang Melayu yang telah dicabuli seperti yang terkandung di bawah Fasal 89 dan 89 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Wasiat Raja-Raja Melayu.

4. MENGAMBIL TINDAKAN dengan kadar segera melalui SPRM terhadap pihak-pihak yang bertanggung jawab dan bersekongkol dalam menggadai tanpa sah, menjual tanpa sah, menceroboh Tanah Rizab Melayu sejak dahulu hingga sekarang. Pindaan Enakmen Rizab Melayu atau penggubalan Akta Rizab Melayu mesti dibuat segera bagi menghukum mereka yang terlibat secara tidak sah di sisi undang-undang sebagai satu bentuk pencegahan.

5. Menggesa pihak kerajaan membentuk 𝗟𝗘𝗠𝗕𝗔𝗚𝗔 𝗔𝗠𝗔𝗡𝗔𝗛 𝗧𝗔𝗡𝗔𝗛 𝗥𝗜𝗭𝗔𝗕 𝗠𝗘𝗟𝗔𝗬𝗨 dan seterusnya menubuhkan Bank Tanah Negara dengan peruntukan sekurang-kurangnya RM5 bilion. Antara tujuannya ialah menyediakan dana untuk memajukan Tanah Rizab Melayu dan membeli semula Tanah Rizab Melayu yang telah terjual, tergadai atau diguna tanpa sah kepada pihak asing.

6. Meminta pihak kerajaan dengan kadar segera membentuk 𝗞𝗨𝗠𝗣𝗨𝗟𝗔𝗡 𝗣𝗔𝗞𝗔𝗥 bagi menyediakan Pelan Pembangunan Tanah Rizab Melayu yang mengandungi perancangan bagi mengatasi kelemahan-kelemahan dan isu Tanah Rizab Melayu di negara kita. Seterusnya, membuka nilai Tanah Rizab Melayu di seluruh negara. Antara lain, pelan berkenaan akan mengenal pasti Enklaf Tanah Rizab Melayu bagi maksud memberi keutamaan pembangunan di setiap daerah dan negeri.
Tuntutan ini akan diserahkan kepada wakil-wakil dan pemegang taruh yang berkaitan dalam kerajaan. Yang paling penting, kita akan susun ‘follow up’ dan langkah-langkah strategik seterusnya yang bakal saya umumkan nanti.

Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
8 Januari 2022

#MembelaAgamaBangsaTanahAir

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat