Islam adalah merangkumi semua perkara bukan hanya berkisar mengenai ibadah tetapi yang lebih besar, Islam adalah kehidupan.
Islam adalah menyeluruh, mencakup semua bidang hidup. Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Akidah yang benar dan ibadah yang sah.
Setiap perkara yang disebutkan di atas adalah ‘at par’ dengan satu sama lain. Sebagaimana pentingnya ibadah, begitulah juga pentingnya menjaga negara dan ilmu pengetahuan bagi memakmurkan alam. Mengapa? Sebab yang mudah difahami, apabila alam ini makmur dan maju, lebih mudah manusia untuk melaksanakan ibadah kepada Allah. Objektif utama bukan untuk hidup senang lenang, tetapi untuk menjadi hamba dan khalifah Allah di bumi.
Justeru kita lihat para ilmuan Islam terdahulu, tidak membataskan kemampuan mereka kepada ilmu-ilmu keagamaan semata, tetapi mereka juga merupakan saintis, ahli astronomi dan ulama’ pada satu masa. Mereka bukan sahaja pakar dalam satu juzuk ilmu tetapi ratusan bahagian cabang ilmu. Kita tidak membicarakan orang yang berbeza tetapi semua kepakaran ini terdapat pada orang yang sama. Bukan sahaja dua ijazah malah mereka membolot semua ijazah yang ada.
Namun peranan ini tidak dimainkan oleh umat Islam pada zaman sekarang. Ada segelintir tetapi tidak menjadikan budaya ini seperti zaman gemilang terdahulu. Akhirnya ilmu itu sendiri terpecah-pecah dan dikuasai dalam bentuk yang sempit dan menyempitkan.
Lebih parah, ilmu yang salah tidak memakmurkan alam tetapi menjadikan manusia semakin jumud dan fanatik.
Jika kita ambil contoh tentang vaksin, berapa ramai yang menolak vaksin dengan hujah yang boleh diterima akal dan sains? Tetapi ramai yang menolak dengan sentimen, tahyul, kepercayaan konspirasi bukan dengan kajian ilmiah. Selamanya tidak akan ada titik pertemuan antara sains dengan sentimen. Sains ada asas eksperimen dan hipotesis, sentimen selamanya tidak berpijak di mana-mana.
Saya tidak mengatakan sains itu ‘tuhan’ tetapi cuma ingin mencungkil pemikiran yang terlalu beremosi dan berasaskan sentimen ini. Adakah ini yang dikehendaki Islam? Bukankah kita perlu hantar saintis-saintis kita untuk mengkaji tentang vaksin dan mereka cipta vaksin kita sendiri yang tidak dikhuatiri keselamatan dan status halal nya? Selama kita menyerahkan hidup dan nasib kepada golongan bukan Islam, selama itulah kita hanya menjadi pemerhati dan pengkritik usaha orang lain. Kita sebenarnya sangat rugi dan ini bukan kehendak agama kita.
Profesor yang mengkaji ‘daun’ di universiti, yang saban hari mendedikasikan hidupnya siang dan malam di dalam makmal hanya untuk belajar tentang spesis tumbuhan dan ilmu botani, mempunyai segala maklumat yang tepat tentang kajiannya, tetapi siapa yang menciptakan daun tersebut pun dia tidak tahu. Jika ditanya mungkin dia akan menyebut mother nature atau god tetapi kajian tersebut tidak sempurna jika dia tidak mengenal Allah sebagai pencipta.
Kita umat Islam beruntung kerana telah pun mempunyai akidah dan kepercayaan bahawa Allah itu tuhan tetapi kita kalah kepada profesor daun yang tidak mengenal tuhan itu. Kepercayaan kita bahawa Allah itu tuhan lebih menjadikan kita mudah takut, pasrah tanpa sebab dan malas mengkaji. Kerana Allah ada, bukan? Biarlah Allah tentukan semuanya. Kita lebih percaya kepada mistik kubur dan membaca majalah hantu lebih dari kita mengkaji alam dan mengenal Allah dengan lebih dekat. Kita anggap agama ini magis dan ia akan selamanya di atas walaupun iman kita di tahap paling bawah.
Begitulah keadaan umat sekarang yang semakin tenat ini. Akhirnya kita dikuasai golongan kafir dan terpaksa menerima apa sahaja dari mereka.
Kita lupa hakikat agama yang luas ini, yang membahagiakan dan memakmurkan. Kita menjadi sebab orang lebih jauh dari Islam kerana kita menggelapkan sinar Islam itu sendiri. Kita menuduh musuh-musuh sebagai tali barut, konspirasi dan selamanya kita menjadi mangsa.
Lama kelamaan, pemikiran humanis, liberalis dan sekular mula merasuk minda dan mengatakan kamu lemah disebabkan agama. Tinggalkan agama dan ikut kemahuan dirimu, di situ kamu akan bahagia dan hidup serba moden. Begitulah bagaimana tidak memahami hakikat agama akhirnya menjatuhkan agama itu sendiri.
Justeru bila melihat kepada contoh tauladan umat masa kini, saya lebih suka melihat kepada negara Palestin.
Mereka mampu mencabar lawan dengan teknologi yang tidak tergambar walaupun mereka dikepong dan dijajah serta hidup dalam kesusahan. Mereka memberikan segalanya untuk agama. Mereka berpakaian kemas, bersih dan melambangkan syiar agama. Mereka menjaga kesihatan, bersenam dan mempunyai tubuh badan yang kuat. Mereka menjaga pemakanan dan sentiasa melatih minda berfikir dan menyambung pelajaran di peringkat tertinggi. Kerana itu mereka tidak akan kalah selamanya. Orang kita jika dihantar ke sana mungkin lari balik atau lama dah kalah.
Umat Islam harus bangkit dari semua aspek dan kenang kembali hakikat sebenar agama kita yang semakin hari semakin dilupakan ini. Bermula dari aspek pendidikan yang menyeluruh, progresif dan holistik untuk anak-anak bangsa sehinggalah kepada merawat masalah ummat dan mengisi segenap lapangan dengan ilmu dan iman.
Semoga ada sinar untuk esok.