BANGI, 8 Mac – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Bangi dan Melaka hari ini telah menghantar Memorandum Pemerkasaan Undang-Undang Syariah kepada majlis agama Islam negeri masing-masing.
Menurut Pengerusi Pembela, Hj. Aminuddin Yahaya memorandum tersebut sebagai satu desakan kepada pihak agama negeri untuk menilai semula segala ‘pembantaian’ terhadap Mahkamah Syariah serta memastikan penghakiman-penghakiman yang dibuat adalah selari dengan Hukum Syarak, sesuai dengan kerangka asas negara.
“Berikutan sebahagian keputusan-keputusan yang dibuat yang tidak memihak kepada Islam, contohnya memutuskan pengislaman lima orang anak tidak sah dan mengekalkan prinsip berkaitan unilateral conversion dari kes Indira Gandhi dan mengambil pendirian bahwa anak luar nikah boleh dinisbahkan kepada bapa dalam isu kewarganegaraan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ustaz Abdullah Hussen, mewakili Isma Bangi bersama Pengerusi Pembela, Hj. Aminuddin Yahaya dan rakan-rakan NGO Islam yang lain menyerahkan Memorandum Pemerkasaan Undang-Undang Syariah kepada wakil Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Sementara itu di Melaka, Dr. Khair Razlan Bin Othman selaku Pengerusi NGO Islam Melaka menyerahkan Memorandum Pemerkasaan Undang-Undang Syariah kepada Hj. Muhammad Ikram bin Ibrahim selaku Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan disaksikan oleh Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.
“Saya berharap agar perlaksanaan di Mahkamah Syariah dapat dinilai semula kelompongan yang sedia ada agar peranannya dapat diperkasakan,” katanya yang juga Yang di-Pertua Isma Melaka Tengah.
Turut serta Persatuan India Muslim Melaka, Persatuan Penggerak Melaka, Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Alor Gajah, Persatuan Belia Islam Nasional Melaka Tengah, Pusat Komuniti Seri Melaka, Persatuan Ahbabul Musthofa dan Persatuan Peguam Syari’e Melaka.
Antara tuntutan tersebut adalah menyeru kepada pihak majlis agama Islam negeri agar memastikan jawatankuasa teknikal yang sedi ada untuk mengkaji semua undang-undang samada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang syariah Negeri agar ditambah baik atau dipinda untuk tidak lagi memberi ruang kepada sebarang cabaran serta kekurangan pada masa akan datang.
Kemudian Menaikkan taraf Jawatankuasa Teknikal ini sebagai sebuah suruhanjaya sepenuh masa yang bebas bagi memastikan kelancaran proses mensyariahkan perundaangan negara
Pihak majlis agama Islam negeri juga perlu mempastikan Jawatankuasa Pelantikan Hakim berfungsi menilai calon-calon yang akan akan dilantik sebagai hakim bagi memastikan mereka yang dilantik memahami jurispruden watan dan perundangan syariah.
Akhir sekali, pihak majlis agama Islam negeri perlu berusaha mendapat pekenan Yang Di Pertuan Agong menetapkan Perlembagaan Persekutuan versi Bahasa Melayu sebagai rujukan utama dalam proses kehakiman dan perundangan bagi menggantikan versi Bahasa Inggeris yang ada sekarang sejajar dengan Perara 160B Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang telah dilancarkan oleh Yang Di pertuan Agong pada 29 Mei 2003. Ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kekhilafan dalam penafsiran istilah-istilah yang ada didalam Perlembagaan Persekutuan.
Penyerahan Memorandum Pemerkasaan Undang-Undang Syariah kepada majlis agama negeri akan diteruskan ke negeri- negeri lain juga.