Bersempena Pilhan Raya Negeri Johor (PRN) yang akan berlangsung pada tanggal 12 Mac nanti, kelihatan calon-calon daripada pelbagai parti yang bertanding sedang giat melaksanakan aktiviti meraih undi selaras dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia.
Bermula daripada hari penamaan calon pada 26 Februari yang lepas, kita dapat saksikan banyak aktiviti dan program yang disusun bagi meraih undi anak muda. Seperti yang semua maklum, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. Justeru, PRN Johor kali ini bakal mencatatkan sejarah di mana belia berumur 18 tahun buat pertama kalinya akan turun mengundi calon pilihan mereka.
Melihat kepada suasana politik masa kini, aksi pertelagahan dan perebutan kuasa dalam kalangan ahli politik tidak pernah surut. Ditambah pula dengan usul tidak percaya kepada menteri dan kejadian lompat parti jelas menampakkan kerakusan golongan politikus terhadap kuasa.
Selain itu, sebilangan besar daripada mereka ini menunjukkan sikap taksub kepartian yang melampau sehingga tidak mampu bersepakat dalam isu-isu yang lebih besar seperti perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti perlembagaan, mempertahankan agama Islam dan Melayu. Baru-baru ini timbul kes seorang wanita berbangsa cina yang ingin mencabar penukaran agama anaknya di mahkamah. Sungguh mengecewakan apabila tiada ahli politik yang bersuara, malah berdiam seribu bahasa tanpa menyuarakan apa-apa pandangan mahupun pendirian.
Satu perkara lagi yang tidak dapat dielakkan dalam arena politik adalah sumbangan kewangan. Tidak dinafikan bahawa terdapat ramai ahli politik dan parti yang menerima dana daripada golongan kapitalis, di mana mereka ini hanya ingin memastikan kelangsungan perniagaan yang telah diusahakan.
Hasilnya, kita dapat lihat betapa ramai ahli politik yang terpalit dengan politik wang sehingga mengakibatkan mereka kehilangan integriti dan jati diri. Berdasarkan situasi-situasi berikut, maka tidak hairanlah mengapa sebahagian besar masyarakat termasuklah anak muda tidak berminat untuk berbicara perihal politik apatah lagi menceburkan diri ke dalamnya.
Namun, kepimpinan adalah salah satu aspek penting dalam memastikan keharmonian sesebuah organisasi. Dalam sebuah keluarga, seorang lelaki bertindak sebagai pemimpin dan bertanggungjawab ke atas rumah tangga yang dibina, begitu juga dengan negara yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat pastinya memerlukan seorang pemimpin yang berwibawa. Bagi merealisasikan hasrat ini, adalah menjadi kewajipan ke atas rakyat untuk memilih pemimpin melalui sistem demokrasi dalam pilihan raya.
Oleh itu, saya ingin menyatakan beberapa saranan kepada anak muda yang akan turun mengundi pada hujung minggu ini. Pertama sekali, anak muda perlu lebih bijak menilai dengan membuat bacaan yang tepat daripada sumber yang boleh dipercayai. Pastikan undi diberi kepada calon yang benar-benar layak dan bukan hanya berdasarkan populariti atau sentimen semata-mata.
Kedua, pilihlah calon yang mempunyai rekod baik, bersih daripada salah laku, tidak terlibat dengan rasuah atau salah guna kuasa. Ini merupakan antara ciri-ciri penting bagi seorang pemimpin yang amanah untuk diharapkan dapat memelihara keamanan sejagat. Terakhir sekali dan yang terutama, undilah calon muslim berwibawa yang mampu mempertahankan agama Islam dan bangsa melayu. Hanya dengan cara inilah kita mampu mengekalkan kedudukan dan hak sebagai rakyat majoriti di Malaysia.
Tuntasnya, marilah sama-sama kita menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dalam usaha mencorak landskap kepimpinan baru khususnya di negeri Johor dengan memilih calon yang selayaknya. Sungguhpun begitu, bidang politik ini merupakan satu bahagian sahaja daripada keseluruhan paksi kuasa dalam objektif untuk menegakkan Islam dan mentadbir dunia. Semoga usaha kecil ini mendapat perhatian dan ganjaran di sisi Allah.