KAJANG, 9 April – Bersatu teguh bercerai roboh, demikian semangat sukarelawan yang sanggup bertungkus-lumus masa, wang dan tenaga untuk aktiviti kemasyarakatan.
Sepanjang tahun 2021 dan 2022, sukarelawan yang terbabit ialah sukarelawan kelab IFFAH, Relawan Muda dan Wanita ISMA. Mereka bertungkus-lumus dalam misi bantuan banjir, kemasyarakatan dan kebajikan.
Naib Yang Dipertua ISMA Kajang, Ustaz Abdur Rahman Raji berkata, pihaknya komited menjayakan misi pembangunan masyarakat secara menyeluruh termasuk mengukuhkan kepimpinan umat Islam di Malaysia. “Kita bukan badan politik tapi badan dakwah yang sentiasa prihatin masalah masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan sempena Majlis Iftar anjuran ISMA Kajang, hari ini yang dihadiri kira-kira 120 orang ahli dan sukarelawan. Iftar ini turut dihadiri pelajar-pelajar Kolej Komuniti Hulu Langat.