Aplikasi MySejahtera merupakan satu aplikasi yang tidak asing lagi buat penduduk Malaysia samada warganegara mahupun bukan warganegara semenjak wujudnya penyakit Covid-19 di Malaysia dan rata-rata penduduk Malaysia telah pun memuat turun aplikasi ini di dalam telefon pintar mereka. Aplikasi ini mula dilancarkan sekitar April 2020 dengan bertujuan membantu pengawasan penularan wabak Covid-19 disamping para pengguna dapat membuat penilaian kendiri sekiranya bergejala. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga dapat mengambil tindakan yang cepat dalam mengawal penularan wabak Covid-19 melalui fungsi-fungsi yang ada dalam aplikasi ini.
Sejak 2020, aplikasi ini telah ditambahbaik dengan beberapa ciri seperti MySJ Check-In, mengemaskini maklumat dan penilaian kesihatan tanggungan disamping janji temu vaksin Covid-19. Para pengguna juga dapat menyemak data harian Covid-19 beserta lokaliti panas kawasan jangkitan di Malaysia. Penambahbaikan inilah yang telah dapat dilihat dan digunakan seperti hari ini.
Kepentingan MySJ Check-In Dalam Pengurusan Awal Penyakit Berjangkit.
Dalam pengurusan awal penyakit berjangkit, pengesanan awal dan pengasingan adalah penting dalam mengekang penularan sesuatu penyakit. Sebarang kelewatan dalam tindakan berkenaan akan mendorong wujudnya kluster-kluster penyakit berjangkit di kawasan tertentu. Penularan yang gagal dikawal ini jugalah yang akan menyebabkan peningkatan kes-kes kematian ke atas golongan rentan seperti warga emas, pesakit dengan penyakit kronik dan kanak-kanak.
Oleh yang demikian, fungsi MySJ Check-In telah diwujudkan untuk merekodkan data setiap pelawat yang hadir dengan mengimbas kod QR MySejahtera yang ada di premis berkenaan. Hal ini demikian kerana pemilik premis tidak dapat mengenal pasti semua pelawat yang hadir ke premis mereka. Dalam masa yang sama, pemilik premis tidak dapat memberikan secara tepat maklumat peribadi seseorang pelawat seperti nama penuh, alamat beserta nombor telefon bagi tujuan pengesanan kontak.
Maka, disini dapat dilihat kepentingan fungsi MySJ Check-In. Pihak MySejahtera dapat menjana maklumat setiap pelawat yang hadir dengan cepat dan tepat untuk tindakan lanjut pejabat kesihatan yang berkaitan. Asbab kepentingan inilah penggunaan MySJ Check-In telah diwartakan dan diwajibkan penggunaannya di dalam Standard Operating Procedure (SOP) Majlis Keselamatan Negara. Namun begitu, baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan fungsi baharu iaitu MySJ Trace yang dilihat dapat menggantikan peranan MySJ Check-In dalam membuat pengesanan kontak akan tetapi penggunaannya masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.
Antara fungsi lain MySJ Check-In adalah untuk mengenal pasti dan menyenaraikan titik panas (Hotspot) melalui data kedatangan pesakit Covid-19 ke sesuatu premis. Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik atau Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI) dalam membuat ramalan lokaliti yang berpotensi menjadi perebakan Covid-19 berdasarkan data yang diperoleh melalui MySJ Check-In serta pangkalan data kesihatan sedia ada melalui kes-kes yang telah dilaporkan. Senarai premis di bawah HIDE ini akan diterbitkan oleh pihak KKM untuk tindakan lanjut oleh Pejabat Kesihatan Daerah supaya dapat dibuat pemantauan pematuhan SOP di lokaliti berkenaan agar dapat mengekang penularan wabak Covid-19. Disamping itu, masyarakat umum juga dapat mengambil langkah berjaga-jaga dengan hanya datang ke premis berkenaan sekiranya perlu. Namun, sistem HIDE ini dilihat kurang relevan setelah kita beralih kepada fasa endemik. Hal ini demikian kerana, virus Covid-19 dengan pelbagai varian ini telah menular ke setiap pelosok dalam negara yang menjadikan hampir setiap premis berpotensi dalam menyebarkan virus berkenaan.
Namun begitu, ianya tidak bermakna sistem MySJ Check-In perlu dibuang terus fungsinya kerana ada aspek tertentu fungsi ini boleh dimanfaatkan oleh pihak kerajaan. Sebagai contoh, fungsi ini boleh digunakan untuk merekodkan kedatangan para pengembara yang masuk ke Malaysia melalui pintu-pintu masuk utama negara. Fungsi ini dapat membantu pihak KKM dalam memantau dan memastikan setiap pengembara yang tiba untuk melakukan saringan Covid-19 dalam tempoh 24 jam setelah ketibaan di Malaysia. Surat arahan kuarantin akan diberikan secara automatik sekiranya para pengembara gagal untuk melakukan ujian saringan dalam selang masa yang ditetapkan lantas membolehkan para pengembara diambil tindakan kompaun sekiranya didapati melanggar arahan kuarantin yang diberikan.
Rumusan
Konklusinya, fungsi MySJ Check-In dilihat boleh dimansuhkan penggunaannya di premis-premis dalam negara kerana fungsi tertentu telah diambil alih dengan fungsi yang lain seperti fungsi MySJ Trace dalam membuat pengesanan kontak rapat. Namun, pihak kerajaan harus menguatkuasakan penggunaan MySJ Trace ini kerana pengesanan kontak rapat masih perlu dilakukan walaupun kita telah beralih kepada fasa endemik. Selain itu, sistem HIDE yang menggunakan data MySJ Check-In juga dilihat kurang relevan kerana penularan Covid-19 telah berada di serata tempat di Malaysia. Pemansuhan penggunaan MySJ Check-In di premis-premis ini juga secara tidak langsung akan mengembalikan kehidupan rakyat kepada norma asal sebelum wabak Covid-19 melanda secara beransur-ansur. Namun, dari segi aspek yang lain fungsi ini masih lagi boleh digunakan di pintu masuk sempadan negara dalam memantau pengembara yang datang supaya patuh dengan prosedur kemasukkan ke Malaysia seperti yang telah ditetapkan.
Dr Abdul Salam Bin Abd Manaff
Aktivis Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Johor