Akhir- akhir ini banyak timbul keluhan dan rungutan beban tugas yang terpaksa dipikul oleh guru warden di media sosial mahupun di media massa. Tidak dinafikan warden merupakan tunggak penting bagi memastikan pengurusan asrama berjalan lancar dan keselamatan serta kesejahteraan murid di asrama terkawal dan berdisiplin. Ini bagi memastikan kualiti pelajar – pelajar yang berada di asrama sentiasa terbina dari sudut akademik, sahsiah dan sosiolisasi mereka.
Namun satu hakikat yang perit, menjadi warden bagi guru yang mengajar subjek peperiksaan dan diberi tugasan luar yang diluar kemampuan mereka akan menjadi satu tekanan dan beban.
Umum mengetahui guru warden terpaksa bertugas melebihi 18 jam dibandingkan guru bukan warden sedangkan kadar elaun yang mereka perolehi tidak setimpal iaitu RM 240 sebulan dan adakala dipotong elaun perumahan jika menetap di kuarter guru. Manakala kadar elaun ini tidak pernah berubah dan tidak dikaji semula untuk sekian lama.
Guru warden bukan sahaja mengurus PdPc ketika sesi persekolahan, mereka juga terpaksa mengurus hal ehwal kebajikan murid di asrama seperti urusan kesihatan, menghantar murid ke klinik jika tiada van sekolah, pengawalan murid di dorm, mendisiplin murid di asrama, menangani kes- kes disiplin asrama seolah jadual mereka amat padat dan merekalah ibubapa bagi murid- murid di asrama.
Tugas warden sekolah sangat berat dan perlu banyak kesabaran. Tugasan yang diarahkan kepada mereka tanpa mengira masa sehingga keluarga sendiri pun terabai. Warden mudah terdedah dengan pelbagai risiko antaranya kemungkinan risiko disaman oleh ibu bapa
Warden perlu memastikan murid berada dalam keadaan teratur dan berdisplin ketika di asrama serta memastikan tiada berlakunya masalah buli dalam kalangan murid, membuat huru-hara, bergaduh, menghisap rokok dan sebagainya.
Mereka bekerja seawal pagi sebelum subuh . Pada waktu tengah hari pula, warden perlu memastikan murid makan tengah hari di dewan makan atau tempat rehat yang disediakan kepada murid. Para warden juga perlu memastikan murid tidak naik ke bilik asrama agar mereka tidak ponteng kelas.
Di sebelah malam, warden akan membuat laporan bilangan murid bagi setiap bilik asrama serta memaklumkan kesihatan murid. Pada lewat malam, warden perlu memastikan murid tidur tepat pada masanya supaya mereka mendapat rehat secukupnya supaya kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) keesokkan harinya dapat berjalan dengan lancar.Tiada tetapan masa ditetapkan bagi warden melaksanakan tugasnya. Sekiranya murid sakit pada lewat malam atau awal pagi, warden dipertanggungjawabkan membawa pelajar ke klinik atau hospital.
Kesimpulannya beban tugas warden mencabar dan memerlukan komitmen tinggi dan pihak KPM perlu melihat isu ini demi kesejahteraan warden dan juga memastikan kesejahteraan murid dan eko sistem pembelajaran terurus dan sahsiah murid terbina dengan disiplin yang tinggi dan jatidiri sebagai pelajar asrama.
Atas asas beban tugas ini maka apa yang boleh dicadangkan ialah :
a) Mewujudkan perjawatan guru warden setaraf guru pusat sumber dengan tugas masa mengajar mereka dikecilkan dan difokuskan kepada pengurusan murid- murid di asrama.
b) Mengkaji dan menaikkan kadar elaun guru warden dengan mengambil kira kos sara hidup yang meningkat dan risiko yang ditanggung. Ini adalah langkah jangka pendek dan segera.
c) Mengecilkan nisbah bilangan warden dengan nisbah murid. Nisbah sedia ada ialah satu orang guru warden dengan nisbah 50 orang murid. Ia tidak mampu diurus dengan baik jika ingin menjamin kualiti disiplin murid kerana kemungkinan rakan warden lain tidak mampu menanggung beban akibat bertugas diluar seperti berkursus dan sebagainya. Nisbah itu boleh dikurangkan dengan kadar satu orang warden kepada 35-40 orang murid. ( nisbah yang realistik dan mengikut keperluan).
d) Mewujudkan perjawatan warden sepenuh masa yang bukan dari kalangan guru. Perjawatan mereka adalah bertaraf perjawatan yang sedia ada seperti guru kaunselor dan sebagainya.
Mohd Azizee Hasan
Presiden iGuru
10 Mei 2022