Peranan Bank Dunia Dalam Monopoli Pendidikan Antarabangsa.

Institusi kawalan kewangan antarabangsa seperti International Bank of Reconstruction and Development (IBRD) atau World Bank, International Monetary Fund (IMF) and Bretton Woods Institutions (BWIs) terbina hasil persidangan Bretton Woods pasca perang dunia kedua. Sehingga hari ini, institusi-institusi ini mengawal polisi dan tindakan semua bank pusat di dunia.Walaubagaimanapun, peranan Bank Dunia kini tidak hanya berfungsi sebagai pengawal selia dan pengatur cara kepada semua bank pusat tetapi ia turut terlibat sebagai pemain utama dalam mencorakkan pendidikan antarabangsa. Sejak tahun 1950-an, penglibatan dan pengaruh Bank Dunia dalam bantuan pendidikan telah meningkat dengan ketara. Bank Dunia telah menjadi organisasi antarabangsa dilihat dominan terhadap negara berpendapatan rendah untuk memperbaharui sistem pendidikan mereka menerusi tawaran pembiayaan, bantuan teknikal dan penghasilan ilmu dan kepakaran baharu. Selain menawarkan pembiayaan pendidikan, Bank Dunia juga melobi negara-negara terlibat untuk menerima “preferred” model pendidikan untuk diimplementasikan sebagai jalan keluar krisis pendidikan yang dihadapi.

Usaha Bank Dunia dalam menawarkan “preferred” model pendidikan ini dapat dilihat menerusi kerjasama yang dijalankan bersama badan-badan antarabangsa lain seperti UNESCO, UNICEF, UNFPA, UNDP, UN Women dan UNHCR dalam menganjurkan Forum Pendidikan Dunia 2015 di Incheon, Republik Korea. Forum ini telah mendapat penyertaan lebih 1,600 peserta dari 160 negara, termasuk lebih 120 Menteri, ketua dan anggota delegasi, ketua agensi, individu dan kumpulan profesion perguruan, belia dan sektor swasta yang berakhir dengan penetapan visi baharu untuk pendidikan menjelang 2030 menerusi persetujuan Deklarasi Incheon untuk Pendidikan 2030. Resolusi forum pendidikan ini termasuklah memastikan hak dan akses pendidikan terjamin, hak kesaksamaan jantina dalam pendidikan, pendidikan sepanjang hayat, galakan penyertaan belia dalam institusi vokasional dan isu indikator dan tadbir urus pendidikan serta kualiti kepimpinan pendidikan dalam konteks negara maju. Matlamat dan indikator yang ditetapkan untuk disepadukan ke dalam Matlamat Pembangunan Kelestarian (SDG) PBB yang diterima pakai oleh pemimpin dunia, memberi kepercayaan kepada peranan kritikal pendidikan, termasuk pendidikan tinggi. Kesemua ini merupakan matlamat pendidikan dunia menjelang 2030 dengan SDG keempat iaitu, memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

Baru-baru ini, Bank Dunia telah mengeluarkan sebuah laporan yang bertajuk “Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills” yang menyentuh berkenaan sistem pendidikan negara. Media melaporkan laporan Bank Dunia itu memberi gambaran membimbangkan tentang sistem pendidikan di Malaysia. Walaupun perbelanjaan yang besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) namun pembelajaran pelajar masih ketinggalan berbanding jangkaan. Hanya 58 peratus pelajar di Malaysia didapati mahir membaca menjelang akhir Darjah 5, jauh ketinggalan daripada rakan serantau (34 peratus berjuang dalam ekonomi yang serupa). Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan respon pelbagai inisiatif sedang dijalankan bagi mereformasikan pendidikan negara. Ia termasuk penstrukturan semula sistem prasekolah, Kurikulum Persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum bagi menangani keciciran pembelajaran. Malaysia, dilihat antara salah sebuah negara yang menyambut baik model dan idea-idea pendidikan daripada organisasi antarabangsa menerusi idea model Kurikulum 2027 yang diperkenalkan atas faktor trend global, pentaksiran antarabangsa dan SDG. Pihak KPM juga menerima saranan daripada Laporan Bank Dunia apabila menyatakan isu kompetensi guru seperti yang disebutkan dalam laporan sedang diberikan perhatian oleh KPM.

Peranan Bank Dunia dalam pendidikan walaubagaimanapun menimbulkan pelbagai rerspon daripada ahli akademik dan ahli pendidikan sendiri. Steven J. Klees di dalam “World Bank and Education, Ideological Premises and Ideological Conclusions” mendedahkan bahawa Bank Dunia bersifat pragmatik, selektif dalam menawarkan solusi kepada permasalahan yang wujud kerana ia menyempitkan hanya kepada ruang lingkup ideologi neo-liberal dalam konteks pendidikan. Tumpuan pembangunan modal insan yang ditawarkan oleh Bank Dunia adalah dalam kerangka kapitalisme iaitu sumber manusia dibangunkan untuk memenuhi kehendak industri semata-mata dan keuntungan pihak tertentu. Bank Dunia akan menawarkan pinjaman kewangan serta laporan-laporan yang dilihat seperti satu inisiatif tetapi memberi impak tekanan dan menghalang negara-negara terlibat dalam menetapkan halatuju dan dasar pendidikannya secara mandiri. Dalam erti kata lain, negara yang terikat dengan pelbagai bentuk pinjaman dan polisi pendidikan daripada Bank Dunia tidak akan mampu membina kemandirian dalam membentuk corak pendidikan, sistem malah yang lebih mendasar ialah hala tuju dan matlamat pendidikan tersendiri.

Pada dasarnya, pengambilan rangka Bank Dunia dalam menganalisis pendidikan boleh diletak sebagai rujukan sahaja, namun Malaysia perlu membina model pendidikannya tersendiri. Kita tidak boleh berpada dengan sekadar mengulang kaji falsafah dan sistem pendidikan sedia ada dan mengharapkan keberkesanan dalam pendidikan dalam jangka masa panjang. Justeru, untuk membina ekosistem pendidikan yang sejahtera, KPM sewajarnya mewujudkan badan kajian khusus yang berperanan mengkaji dan menganalisis isu dan permasalahan sebenar dalam pendidikan nasional. Dengan mengenal pasti punca masalah yang sebenar dalam pendidikan kita , maka penyelesaian yang digubal justeru membantu memulihkan krisis pendidikan yang sedia wujud di dalam tanah air. Kenyataan media KPM baru-baru ini yang menyebutkan akan melibatkan guru dan pakar pendidikan dalam merencana halatuju dan matlamat “Kurikulum 2027” adalah langkah yang proaktif kerana guru yang merupakan kelompok yang terlibat secara langsung dalam proses peengajaran dan pembelajaran di sekolah. Ini sekaligus membantu pihak berkaitan mendapatkan input yang ampuh dalam melakar pendidikan nasional yang mandiri dan unggul.

Nur Irdina Hakimah binti NorAzali
Penyelidik Pendidikan ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat